Sunday, July 05, 2009
Saturday, July 04, 2009
gagah suci
tepian lebuh raya
pepohonan raksasa
menggunung menghimpit
merimbun meneduhi
tetaplah akarnya
menjunam merekah tanah
graviti Tuhan menarik
sehingga memaku bumi
aku khalifah ALLAH
bisik pepohonan
tugasku merantai bumi
merembes oksigen
menelan toksik halimunan
aku wakil ALLAH
tetapku di sini tak berganjak
anjing kencing di akarku
insan berpayung di dedaunanku
gagah suci
khalifah ALLAH
###sarikeisarawak###
Tuesday, June 30, 2009
dengar
Aku mendengar
Dengar apa yang terlintas
Dengar sebuah kebenaran
Yang aku tutupkan telinga
Aku tak berani
Mendengar satu luahan
Yang sering berulang
Setiap kali aku meraung
Aku tak mahu
Dengar sebuah keluhan
Aku dengar yang optimis
Aku dengar yang tragis
Tapi aku elak dengar
Yang benar-benar penting
Itulah yang aku tak mahu dengar
Pernahkah kamu dengar
Aku berkata begini?
Adakah sesiapa yang dengar?
Atau aku seorang sahaja yang dengar?
????sarikeisarawak????
pendam
senyumlah sayang
aku mengerti
aku melihat
aku mendengar
hilangkanlah kerut di dahimu
ingin kudakap dirimu rapat ke dadaku
agar kau tenang di sisi mehnah-Nya
indahnya diammu
bersama sejuta garisan halus di dahimu
indahnya sinar yang memancar
di sebalik gelojak nafsu yang kau tahan
diamlah gelora di tepian alis matamu
air mata yang kau tahan
serupa sahaja kau zahirkan atau kau pendam
tetap mengalir secara ghaib atau terang
sebenarnya ramai yang menyayangimu
tanpa kau sedar
atau tanpa ragu meniup ciuman ke dahimu
tanpa kau melihat
kerana cinta itu halus seperti sabar di kalbumu
kerana cinta itu berdoa untukmu
sarikeisarawak
yang zalim dan yang dizalimi
ketika Jumaat yang tenang
sebuah puisi yang terlakar biasa
tiada rentak dan irama
hanya cebisan luahan rasa
titisan intifada bukan milikku
syuhada yang bergelimpangan bukan diriku
hanya sebuah retorika harapan yang terduduk
di kaca televisyen yang bersarang duka
tidakkan aku mengerti jeritanmu
tidakkan ku lap titisan keringat yang bercampur darah
hanya doa dan doa serta doa
kulaungkan takbir berduyun-duyun malaikat
menyambutmu
Tuhanku menyuruh
tolonglah yang zalim dan yang dizalimi
hanya doa untukmu
wahai yang zalim
wahai yang dizalimi
--sarikeisarawak--
munajat siberdosa
Laa ila ha ilALLAH
Di manakah ia pada saat-saat aku lelah
Sejadah yang tersentuh di dahi
Akalpun berlari di awan pelangi
SubhanALLAH
Aku mengerti namun kubenci
Benci kerana tiada erti yang manis
Meresap menusuk kalbu
Asmaul Husna
Indah namun sayang
Cantikmu tidak kekal di jiwa
Yang kehitaman dek dosa
Lopong segenap rasa
astaghfiruLLAH
jujurku ini
terimalah
ya ALLAH
sarikeisarawak
angan
berlari mengejar angin
bayu yang bertiup , sayang
meninggalkanmu termengah
takkan dapat kau genggam
syurga bukan wujud
di sini neraka para wali
kontangnya sebuah harapan
kerana doamu dimakbul
bila nafasmu berakhir
mulanya sebuah episod
luarbiasa yang pasti
alam barzakh menjadi realiti
sarikeisarawak
yang
dalam doaku
di sebalik rahsia
hikmah Ilahi
menutupi seluruh tubuh
dengan selimut kepuraan
yang memakai pakaian baru
saban hari mentari kelihatannya enak
mengulit mimpi-mimpiku
aku hanya mampu
menghamburkan bisik
aku membenci perbuatanmu
yang menghiris hatiku
tentunya kerana aku lelah melakonkan
sebuah peranan
seorang serikandi
+++sarikeisarawak+++
sedalam kalbu
jiwa yang merana
hambatan nista
terpana dek dunia
yang menggiurkan
aku engkau membohongi
palsu setiap janji
maka jujurnya jiwa
berstatus syurga atau neraka
atas ataupun bawah
aku ketakutan
menggigil kesejukan
membeku disimbahi putus asa
sudikah engkau menyapa
tinggalkan aku
jika tanganmu kotor
sambutlah aku
kira tanganmu berlapik
subuh-subuh lagi
luahan hati
mendayu
sepoi-sepoi bahasa
=sarikeisarawak=
tewas
malam pekat , gelap
segugus nista merasuk
tenang yang fana
menusuk sehingga tersengguk
lenaku mendakap senaskah al Quran
Isyak dan Subuh melayang
kerana aku lemah Ya Tuhan
di mana lesapnya
ruhku
tidak tergenggam sebuah iltizam
menghirup kegelapan
yang hanya mengintai
menanti peluang
tewaskah aku nanti
di saat sakarat?
sarikeisarawak
sekuntum rindu
sendirian menelaah kesunyian
menyapa sekujur tubuh berjauhan
tiada sepi sehening semerbak
sekuntum rindu memukau rasa
mekar menghiasi taman bidadari
air mata sudah tidak berembun
resah berpayung di lembayung Arasy
oleh : sarikeisarawak
Sunday, June 28, 2009
hentian
berhenti
pelabuhan ini menggamit rasa
wanita yang melambai itu
menahan esakan sendu
perpisahan yang melerai asa
tiada rindu sekukuh Zulaikha
tiada cemburu seputih 'Aisyah
penapis kalbu sebuah Kitab
pembersih cerca mata yang meruntun
sebuah bayang yang kian menjauh
noktah ini hanya di dunia
pengertian yang kian menggunung
tanpa rindu kaku kalbu
=sarikeisarawak=
Wednesday, March 04, 2009
pintu
tutuplah pintu itu
sebelum langkahku menuju menara
tutuplah dengan bismillah
lalu kukuakkan pintu selainnya
dalam dua puluh empat jam detik masa
pintu yang manapun aku langkah terus ke hadapan
doaku bayang-bayang dosa tidak mengekori
kealpaanku tersekat di celahan pintu yang merapat
aku terus-menerus mendambakan-Mu
bilakan tiba Pintu Itu Terbuka dan Wajahpun terserlah
namun aku masih merayu menjeritkan sendu
di celahan neraka dunia
yang menghambat ruh
berlari-lari anak tanpa berhenti
menoleh belakang yang dikejari anjing
syaitan tersengih menanti berhentinya
sebuah kudrat yang lelah dan resah
putus asa dari mawaddah dan rahmah
tercerai-berai sebuah ukhuwwah
sarikeisarawak
Sunday, July 06, 2008
"Je t'aime"
Dunia
Kuhirup sedikit
Kerna kutakut
Bisanya
Cinta
Kuhidu hati-hati
Kerna kugeruni
Hamanya
Kebenaran
Kugenggam kesakitan
Kerna kuakui
Baranya
Dunia, cinta dan kebenaran
Bahayanya seiring
Kerna kapal iman
Sering karam
dengan Nama-Nya
Putusku
“ Je t’aime”
Noktah.
puisi hidup
redhoku
pada sebuah senyum di wajah anak
sebuah tangis yang memekak
pada sebuah rengek memerahkan telinga
sebuah jerut kasih memerangkap masa
dijirus cinta yang tak dapat kuempang
adakah cinta ini Cinta-Nya?
bergelumang pengorbanan yang tak sudah
kemanisan cinta yang tak bertepi
adakah perjuangan tanpa air mata
tidak berdarah di kalbu
tidak terluka parah di tubuh?
redhoku
perjuanganku
engkau guruku
cintamu Cinta-Nya
menjadi puisi
**sarikeisarawak**
sesal terurai
TALI INI
TAK PERNAH KULEPAS
WALAU SIMPULANNYA
SUDAH TUA
MEREPUT
AKU GANTI BARU
LALU KUSIMPUL NIAT
SEHINGGA MAUT MERENTAP
KELAK DI MASYAR
BILA TANPA SEURAT BENANG
TIADA LAGI TALI
UNTUK KUSIMPUL
TIDAK TERURAI SESAL
**SARIKEISARAWAK***
hujung kudrat

bayang-bayang silam
mengekori senyuman yang kau kuntumkan
tangan melambai terkapai
tali yang dihulur
memeluk kemas sebuah tubuh
berhayun ke kiri ke kanan
namun dakapan mesra sebuah pertolongan
erat merapat di dada yang semakin hangat
terhuyung-hayanglah
walau setinggi mana tinggi ujian
tali itu, peluklah, dakaplah,rapatlah,
maka selamat hingga ke hujung kudrat
+++sarikeisarawak+++
tanpa kisah
kaki cacat menyapu lantai
tempang bersemangat melangkah
tersenyum sumbing merenung
payahnya tumit memijak bumi
Tuhan menyambut bila tersadung
Tuhan memeluk kalbu gelora
ombak sedih ditelan
seteguk demi seteguk
perlahan
asal kaki melangkah
senyum puas tetap melirik
tanpa kisah
belas insan penyayang
***sarikeisarawak***
hijab
hijab-hijab hitam
tanpa putus
bersenandung
syair-syair nafsu
bisik-bisik insaf
tanpa henti
merobek langsir hijab lusuh
menebuk lubang cahaya
jemukah kamu
menerobos hijab?
azammu
terburai?
gelap malam diusap zikir
kerdipan bintang
jarang menerang
dia mengerang
dalam gelita malam
angin sepoi bahasa
singgah sesaat di jendela resah
memeluk leher tegang
hangat disimbah keringat
suara lunak santun
membelai ubun
anak rambut tidak bersisir
lemah-lembut diusap zikir
indahnya manis sakitnya perih
berputar dia insan
dan sesungguhnya
begitu takdir Tuhan
selendang kudus
Selendang kudus , setanggi syurga
Selimuti subuhku, zikirkan pasrahmu
Cahaya di atas cahaya, selubunglah aku.
Doa senjata luput dari bibir.
Aqad kalbuku resah, goyah,
Tidak sah, saksi bertaut.
Dingin salji di kalbu,
Termeterai suatu ketika dulu,
Terlerai .
hitam
hijab-hijab hitam
tanpa putus
bersenandung
syair-syair nafsu
bisik-bisik insaf
tanpa henti
merobek langsir hijab lusuh
menebuk lubang cahaya
jemukah kamu
menerobos hijab?
azammu
terburai?
**sarikeisarawak**
damba
Betapa aku damba satu ruang vakum
Kuluah cinta, anak-anak, kekasih tanpa
Rasa dikhianati dunia yang berputar
Atas logika semata
Di lembayung rasional sebuah lisan
Yang tidak pernah berhenti
Tafakurku ini adalah buatan
Ruh seni dan halus
Saraf-saraf yang menjerit sakit
Bila hanya dijeling marah
Terasa meletup gunung berapi
Membuak dan terus menerus
Menjangkiti diri,hancur-lebur sebuah jasad
Yang kuat jadi rontok
Dek sebuah derita dalam jiwa
Sakit-sakit pening mental
Yang mengggigit,yang menggugat
sebuah tasik yang tak ingin
Direnangi namun dicampakkan batu
Bagaimana kecil pun
Bagaimana comel pun
Aku hanya ingin sendiri
Senyumku jangan dipertikai
Tuesday, June 03, 2008
kelu tafakkur

desiran angin sejuk
menusuk kalbu bak dingin air terjun
menerjah ke rambut
sambil membasahi tubuh
angin ghaib terasa membelai
pipi yang tegang
kendur diusik rerambut yang bergoyang
cuping telinga diusap lembut peluh yang dihembus
kering gersang hati menjadi kuyup
dengan percikan air dari tasik Nur
pernahkah ragu-ragu menyentap
sebuah KASIH yang takkan sirna
kelu senyap aku dalam tafakkur
akhirnya resah menderu pergi
****sarikeisarawak***
