Tuesday, January 31, 2006

Lelaki Agung

Di sebuah kisah yang terperuk di sudut yang terpencil
di celah-celah tafsir Ibnu Katsir yang berhabuk dengan debu
di selitan buku-buku agama yang terperosok di rak yang hampir roboh
di helainan kusam yang berlapuk di sudut khutub khanah yang gelap
di barisan ayat yang kumal kekuningan
di sudut tulisan yang begitu konservatif
di situlah kau akan bertemu dengan perwira yang benar-benar perwira
bernama Muhammad Shallallahu'alaihi wassalaaam!

Carilah walau di sudut yang tergelap di daerah hati yang diselimuti wahan
kisah seerah seorang lelaki agung sehinggakan syaitan begitu gentar dengannya
musyrikin menabur najis dan dusta pada akhlaknya yang terpuji
carilah di situ terselit kisah seorang lelaki agung
bernama Muhammad Shallallahu'alaihi wassalaaam!

Begitu agung dia sehingga dia tidak memerlukan keagungan dunia
begitu tawadhuknya dia sehingga dia rela menjadi Abdullah
begitu penyayangnya dia sehingga ketika nyawa di kerongkong
masih menyebut-nyebut nama kita
carilah dia seorang lelaki agung yang tidak dapat digambarkan
seorang lelaki bernama Muhammad Shallallahu'alaihiwassalaam!

Monday, January 23, 2006

Monolog Hati 2

"Ana!!"tersentak lelaki itu dari tidurnya.Berpeluh-peluh dahinya walaupun di luar suhu di bawah tahap beku.Jalanan di LIverpool walaupun tidak bersalji namun tetap membekukan tangan,tubuh dan juga minda sesiapapun yang kalah dengan suasananya yang mencabar.

'Oh!Ana..." ujar lelaki itu seolah-olah berdoa. Seolah-olah mahu mendakap insan dan ruh seorang wanita bernama Ana.Lelaki yang bernama Badrul itu sebenanya dihantui oleh kehangatan jiwa seorang wanita bernama Ana.

"Oh Ana...maafkan...!"Lelaki itu mengetuk-ngetuk kepalanya.

"Argh! Mengapa asyik dia menghantui aku?Lepaskan aku!!!" Jeritan kecil terkeluar dari bibirnya. "Aku ni dah gila agaknya.."Namun kelibat wanita itu mengisi setiap ruang dalam fikirannya. Senyumnya.Jelingan redup matanya.Manja.

"Oh Ana...aku rindu padamu..aku masih sayangkanmu...aku ....bersalah padamu.."akhirnya kalimat itu terkeluar juga dari lubuk hatinya. Sudah acap kali keegoannya tidak dapat membendung pengakuan itu dari terkeluar dari bibirnya. Dia berasa sakit menahan perasaan itu. Lantas pengakuan itu seolah-olah memerdekakan dia.

"Oh Ana..masihkah engkau mengingatiku...aku masih......"Dia masih lagi terduduk di dalam selimutnya yang tebal.Belakangnya lemah tersandar ke sebuah alat pemanas sepanjang diding yang terdekat dengannya.


Sudah 2 tahun berlalu. Lelaki itu menapakkan kaki di sebuah negara di atas angin. Mengejar impiannya dan juga menunaikan impian orang-orang tersayang.

Tahun pertama, lelaki itu masih asing di bumi Tuhan yang asing. Masih ternganga dengan keindahannya. Masih terpinga-pinga seperti rusa tersesat ke dalam kampung.
Masih terdongak-dongak bercakap dengan orang-orang yang begitu asing baginnya.Masih terkebil-kebil memahami loghat bahasa Inggeris orang tempatan.Bila pertama kali melihat salji, dia begitu teruja. Lantas berlari-lari seperti anak kecil sambil mengangakan mulutnya menelan setiap butiran salji yang lembut. Salji yang putih, bersih dan suci.

"Ana akan tunggu abang...abang jangan risaukan Ana...Ana akan sentiasa mendoakanmu...alaaa 3 tahun bukannya lama sangat. Dengan kesibukan kita, pejam celik pejam celik...sudah berlalu..insya ALLAH"Janji wanita itu dilafazkan tatkala saat perpisahan pun bermula. Sebelum dia melangkah ke arah kapal terbang yang sedang menantinya.Dia hanya tersenyum di dalam riaknya yang tiba-tiba serius.Melontarkan sebuah pandangan pada wajah seorang yang amat diharap kehadirannya di sisnya setiap masa.Ana membalas pandangan sambil tanganya memegang erat bungkusan hadiah perpisahan yang baru sahaja dia sampaikan. Seperti biasa, Ana ditemani abangnya Alif. Tidak pernah mereka berdua.Mesti ditemani abangnya.

Tahun yang pertama, dia masih lagi bebrbisik di dalam hatinya tika saat-saat dia teruja.Teruja melihat kecantikan pemandanag di sana. Awannya yang tidak serupa seperti di Malaysia. Bentuk muka buminya. Mesti dia berbisik"Oh Ana..alangkah baiknya jika engkau ada di sisiku...menikmati keindahan ini bersamaku!" Sesungguhnya sentiasa berdoa Ana dapat menghadirkan diri serapat-rapatnya namun hanya setakat itu sahaja.

Segala-galanya berubah saat Sarah muncul dalam hidupnya. Sarah gadis Irish, sangat menawan. Amat memukau. Latarbelakangnya dari sebuah keluarga yang berpegang teguh kepada agama Nasrani menjadikan dia seolah-olah gadis yang kolot berbanding dengan gadis-gadis Inggeris yang lain. Sarah, kalau bertutur, suaranya lembut, hampir tidak kedengaran.Muka Sarah kelihatan putih bersih.Bola matanya biru, rambutnya keperang-perangan.Sungguh, jika dia tersenyum ataupun merasa malu, mukanya bertukar merah menyala. Menjadikan dia sasaran usikan sesiapa yang mngenalinya.

Bermula semester tahun dua, iaitu awal tahun kedua dia berada di Liverpool University, Badrul dan Sarah termasuk dalam kumpulan yang sama.Ke mana-mana mereka melakukan penyelidikan bersama.Ke perpustakaan. Ke makmal.Dari situ, Badrul yang selama ini memang terpukau dengan kecantikan Sarah, mengambil kesempatan merenung wajah Sarah dari dekat. Sehinggakan Sarah pun tersipu-sipu dan acap juga mukanya kemerahan.Bak kata pepatah, dari mata turun ke hati.Rupanya Sarah tidak memilih.Dia bersikap terbuka. Lagipun tingkah laku Badrul terlalu baik baginya jika dibandingkan dengan teman-teman sekuliah yang sebangsa dengannya. Badrul sopan, Badrul menghormatinya dan juga Badrul menghargainya sebagai wanita. Menghargai pendapatnya.

Memori indah bersama Ana yang jauh di mata sudah bertukar menjadi saat saat indah bersama Sarah.Sedikit demi sedikit cara kehidupan Sarah meresap ke dalam ruh Badrul. Sering ke pub walau bukan ke disko. Sering berkelakuan seperti pasangan-pasangan lain. Mereka berdua tidak ubah seperti mana-mana pasangan yang sedang bercinta ala barat.Memori Ana lenyap. Solat dan puasa terhakis dengan terhakisnya hubungan hati dengan Tuhan.

Segalanya begitu indah sehinggalah Badrul mendapati Sarah curang terhadapnya. Sarah bermain kayu tiga. Lalu lelaki itu akhirnya dengan penuh keegoannya yang tercalar, mwmutuskan hubungannya dengan gadis Irish itu.Tetapi semuanya sudah tercemar. Hati. Tubuh.Akal.Malah setiap saluran darah Badrul sudah dijangkiti ...dengan HIV.

Lamunan Bad kembali ke alam sekarang. Dalam kegawatan jiwanya sekarang,barulah memori bersama Ana menggamit perasaanya. Bila akhirnya dia membentangkan sejadah kerana taubatunnasuha, akhirnya cintanya pada Ana kembali segar.Mungkin juga doaa dari Ana akhirnya singgah juga ke pedalaman hatinya. Mungkin juga doa dari hati Ana yang sedang menderita akibat perbuatannya, dimakbulkan Tuhan akhirnya.

"Tuhan!Aku sudah kembali ke pangkal jalan. Ke pangkal hidayah. Ke pangkal solat. Ke pangkal tauhid." NAmun yang indahnya Bad tetap merasai Tuhan mengampuninya. Merasai kasihNya. Meresap sehingga terasa ringan segala anggotanya. Hatinya kembali bersih setelah air mata keinsafan setiap saat menemaninya tanpa segan silu.

"Ada apa dengan Ana?Aku berhak mencintainya walau aku bertepuk sebelah tangan.Aku tidak boleh melarang hatiku merinduinya,biarkan sahaja sebuah senyuman syahdu dari Ana menghantui diriku!"Hatinya berdegil mahu berpegang pada memori Ana.

Berbekalkan kasih Tuhan, lelaki itu meneruskan kehidupannya dengan tenang. Malam hari bermunajat. Siang hari belajar meneruskan kuliahnya. Setiap hujung minggu ke pusat pesakit AIDS di hospital terdekat. Dia menjadi antara pesakit-pesakit yang dirahsiakan identitinya.Bergelumang dia dengan pesakit-pesakit AIDS yang lain . Ada yang tenat. Ada yang masih sihat dan masih kelihatan normal sepertinya. Ada juga yang dia kenal sudahpun menemui ajal.

Berbekalkan taubatunnasuha dia tetap tegar.Redho.Dia sudah mencapai tahap redho.Lalu menereuskan kehidupannya sebagai muslim yang beramal dengan sebenar-benar amalan.

Lelaki itu bangun lalu menyempurnakan wudu'. Rupanya mimpinya mengejutkan dia untuk bangun bermunajat. Lalu dibentangkan sejadah. Mengangkat takbir.Ruku' dan sujud. Sujud dan sujud sehingga lututnya letih setelah berulag kali melakukan solat taubat.Tanpa henti. Terus menerus mengangkat takbir. Lelaki itu hanya akan berhenti setelah hatinya lega bersama tumpahnya airmata di sejadah. Menanti saat dadanya rasa ringan dari dosa-dosa musibah yang dia tempah sendiri. Dosa-dosa yang sengaja yang pernah ia lakukan.Akhirnya jiwanya senyap dari rintihan. Merasai ni'mat kemanisan iman.

Lantas Badrul mengangkat tangan. Berdoa. "Ya Tuhan, Ya tuhan, hanya dengan mengatakan Tuhan, hatiku sudah lega.Hanya dengan menyebut NamaMu hatiku sudah tenang..."Bermunajat dan terus bermunajat. Sejujur-jujurnya mnegungkapkan dosa satu persatu.

"Oh Tuhan..berilah aku peluang untuk memohon maaf dari Ana agar aku terlepas dari dosa menyakiti hatinya. Maafkanlah segala dosa-dosa Ana serta jadikanlah dia bidadari di syurgaMu. Amien"

tamat

silaturrahim

Semuanya bermula dengan satu senyuman
huluran tangan menggenggam kemesraan
lalu membuahkan kasih berpanjangan

mengapa seri silaturrahim gagal dihulurkan
apakah ego di hati yang menghalang
sehingga cernaan kasih di sanubari dipagar?
apakah takut,syak dan lemah jati diri
dijadikan landasan lalu cemari keikhlasan?

selagi hati itu bersih
Nur melata di wajah
walau hakikatnya Tuhan empunya hati-hati
mengapa harus suuz zhon menebal
sebelum sempat tangan dihulur
sebelum bicara berbalas tutur?

sempurnanya iman ialah sempurnanya
kasih sayang sesama insan
maka syurga dipenuhi insan-insan
bersih jiwa tanpa perasan
kehebatan diri yang mencekik spontan
kesumat menjadi hasad

maka hulurkan tanganmu
genggamlah bingkisan jari-jemari
bertaut rapat sehingga saraf-saraf di tapak
terasa berbalas hangat
takkan sesal walau sesaat
kerana wujud pengertian
hanya YAng Satu mampu memahat
menyimpul kait menyulam hati insan
walau apapun rasional yang dicari
hikmah sebab musabab
hanya Tuhan yang menentukan taqdir di sebalik!

Saturday, January 21, 2006

Monolog Dari Hati (Cerpen Pertama Sakinah)

Deruan angin pantai menepis-nepis tudung wanita itu. Wanita itu terus menerus merenung ke horizon."Beginilah akhirnya bahagiaku.." detik hati wanita itu. Dia lantas menarik nafas sedalam-dalamnya. Seolah-olah mahu menyedut keluar segala resah yang sedang berkumpul sesak dalam saluran darahnya, lalu dihela keluar bersama-sama dengan nafasnya yang berisi karbon dioksida.

"Wahai pantai, aku masih gelisah...aku ingatkan bila merenungmu aku kan lega dan tenang...tapi angin mu menggangguku...pekat dengan garam..terasa melekit..." bisik hatinya seolah-olah sedang berdialog dengan pantai. Kutukannya yang berani itu hanya terhambur kerana hatinya masih sarat dengan derita.

Terlintas juga dalam benak wanita ini untuk berlari-lari mendekati air laut. Kalau diikut kemahuan hatinya mahu sahaja dia terus terjun ke dasar laut. Tenggelam bersama-sama dengan segala permasalahan dirinya.

Namun wanita itu tetap duduk tanpa berganjak sedikitpun dari tempat duduknya. Kelihatan tangannya yang memegang sebatang ranting menguis-nguis pasir dengan penuh semangat. Seolah-olah mahu melepaskan geramnya pada pasir yang tidak bersalah.

"Oh Tuhan...aku hanya inginkan sedikit ketenangan...tolonglah aku...aku dah tak tahan menanggung beban ini.." tiba-tiba saja dia jadi pasrah.Namun pasrah ini hanya berlaku setelah jiwanya puas memberontak mencari penyelesaian yang tak pernah dia temui.

"Ya Tuhan...aku mencintainya sepenuh hatiku..tidak pernah terlintas sedikitpun wajah-wajah lelaki lain dalam fikiranku..apatah lagi untuk meninggalkannya.." dengus wanita itu.Namun segala-gala itu dihamburkan dengan mulut yang masih terkatup rapat.Begitu kuat hatinya berkata-kata dalam diam.

Wanita itu terus tenggelam dalam sebuah monolog yang separuh khayalan dan separuh realiti."Beginillah rasanya patah hati.Tak pernah kusangka ia begitu dahsyat."
Airmatanya sudahpun mengalir.Airmata itu walau bercucuran membasahi hidungnya sehingga membasahi tudungnya,langsung tidak diendahkan pemiliknya. Kenyataanya air mata itu sudah menjadi lumrah baginya.Airmata itu sudah menjadi seperti teman yang sentiasa menemaninya.

"Mengapa harus aku bercinta sebelum ini?Aku menyesal memberi jiwa ragaku sepenuhnya kepada dia...benci!Benci!Benci!!" Lantas pasir di hadapannya menjadi mangsa. Bertubi-tubi dia menjunamkan ranting itu ke dalam pasir.

" Oh Tuhan...." akhirnya dia kepenatan. Jiwanya keletihan setelah meluahkan segala kebencian yang sengaja dipendamkan selama ini.Tanpa malu.

Sudah beberapa minit berlalu, wanita itu masih di situ. Perasaannya sudah sedikit lega. Apa yang selama ini tersimpan kemas akhirnya terhambur keluar satu demi satu.

Tiba-tiba wanita itu berpaling kerana disapa seseorang yang dikenali. Seorang lelaki yang selama ini ketiduran di atas kereta di belakang wanita itu menyapa wanita itu."Dah?Dah lega?Sudah puas menatap alam?Sudah puas memandang laut?" lelaki itu berkata separa menyindir.Lelaki itu yang sentiasa skeptikal dengannya. Kata-katanya sentiasa membuatnya lebih marah dari sebelumnya. Itulah kelebihan lelaki itu.

"Dah!" Jawab wanita itu dengan ringkas. Malas. Dia terus bangkit lalu berjalan tanpa melihat pada lelaki itu. "Abang nak balik?" tanya apabila sudah melabuhkan punggungnya di atas kerusi kereta.

"Baliklah!Nak buat apa duduk lama-lama di sini?" Dengusnya lagi.Lelaki itu tidak marah tetapi dia tidak memahami apa yang bergelojak di dalam hati wanita itu.

"Banyak kerja lain yang lebih berfaedah daripada duduk merenung laut dan langit. Ini semua kerja tidak berfaedah." rungut lelaki itu lagi. Wanita itu terus menjeling.Masam mukanya."Egoistik!Menyampah!" marah wanita itu di dalam hati.Tidak berani menyuarakannya dan juga tidak mahu memanjangkan cerita.

Lelaki itu merenung sebentar ke arah laut dan langit yang baru sejenak tadi dia jadikan sandaran untuk menyindir adiknya. "Hmmm...indahnya awan biru..langit biru..laut biru....aaaaaaaah....aku sepatutnya dah lama bercuti...terlalu banyak halangan untukku melepaskan lelahku...rugi jika aku asyik terperap di dalam pejabatku dengan mengadap komputerku..aaaaaaaaah.."Dia terus mengeliat kerana sesungguhnya dia sebenarnya masih mengantuk.Tertidur semasa menunggu adiknya yang inginkan waktu untuk melayan melankoliknya.

"Kasihan...jika tidak kerana kasihan...aku tidak akan berada di sini...kerjaku masih bertimbun di pejabat!" Lelaki itu pula yang mencurahkan perasaan kepada laut yang terbentang luas. Begitulah kuasa tarikan makhluk Tuhan bernama laut.

"Aabang!!Cepatlah!Kata nak balik!Dia pulak..ish..." Lelaki itu menjeling laut walau yang menyakiti hatinya ialah suara itu. Bukannya laut. Dia pun berpusing lagak gayanya seperti seorang yang sentiasa terpaksa bersabar dengan sedikit mendengus.Dia pun berjalan dengan perlahan. Sengaja. Sengaja menambah sakit hati wanita itu.

"Yaa cik adik! Ada apa cik adik?Ya boss nak pergi mana boss?" Ujarnya pada wanita itu sambil melabuhkan punggungnya ke atas kerusi pemandu.Berlagak seolah-olah terpaksa menjadi khadam pada adiknya.

Bila enjin dimulakan, serentak mereka berdua sama-sama membisu tanpa berbicara sepanjang perjalanan selama 15 minit. Senyap-sunyi.Namun monolog dalam hati berterusan. Hanya Tuhan yang tahu.

Tiba-tiba, lelaki itu bersuara.

"Apa khabar hatimu sekarang?"

Soalan yang berat. Tetapi wanita itu terus menangkap ertinya.

"Hati ini masih sakit..Ana masih tercari-cari titik ketenangan..sudah habis ku korek merata-rata ceruk di pedalaman hati..masih terkapai-kapai mencari hikmah.." wanita itu bersyair dalam jawapannya. Iyah, memang itulah jiwa penyair yang sering menguasai kata-katanya dan sering membuatkan dia seorang yang istimewa.

"Hmmmm....mangapalah kamu ni...tidak mengertikah bercakap seperti insan lain?Mesti berbunga-bunga...hehehe.." Ujar lelaki itu mahu meringankan beban suasana yang terasa amat menekan.Wanita itu tersengih.Sumbing.

"Aduhai kekandaku..tanpa bait-bait ini, mana mampu ku luahkan apa yang berbuku di dadaku" bisik wanita itu di dalam hatinya.Lidahnya terasa begitu berat untuk mengeluarkan patah-patah perkatan itu. Lagipun. dia tahu sebentar lagi lelaki itu akan mengeluarkan kata-kata hikmah untuknya. Wanita itu hanya mahu mendengar. Mana tahu hatinya akan tenang mendengar mutiara hikmah daripada elaki itu.

"Adik, abang mengerti. Sajak-sajak kamu adalah manifestasi perasaan yang mengiringi sejarah hidupmu.

Selama ini, kamu seorang yang senyap-sepi dan diam seribu bahasa serta seorang yang memendam segala.

Sejarah hidup kita bersama ibu dan ayah menjadi engkau tercari-cari satu medium untukmu bersuara. Melayani suara hatimu yang sering dipandang enteng oleh ibu dan ayah.

Iya, abang faham.." Kata-kata lelaki itu sebagai muqaddimah.

Maka terserlah hasil pendidikan yang tidak langsung dari ibu dan ayah mereka yang memang ahli sastera sepanjang mereka membesar.

"Abang juga mengerti kamu ini idealist.Dramatik.

Kekasihmu sudah meninggalkanmu.

Dia gagal memanifestasikan kejujuran dalam hubungannya denganmu.Dia tergoda dengan bisikan cinta wanita yang tergila-gilakan dia.

Dia kalah, adik, kalah denganmu dari sudut kesetiaanmu, dari sudut dalamnya kepercayaanmu kepadanya, dari segi kemaafanmu yang tidak berbelah-bagi padanya setiap kali dia gagal mengawal nafsunya...sesungguhnya, berbaloikah kamu masih menangisi dia?" syarahan lelaki itu baru bermula.Nada suranya tidak menghukum malah dengan nada yang penuh kasih sayang.

"Aduhai kekandaku...aku tahu itu..tetapi hatiku ada satu..yang satu itu hanya ada dia...mengertilah.." berbisik-bisik lagi dalam diam . Wanita itu terus membisu.

"Abang sayang padamu adik. Mengertilah. Senyummu amat beerti padaku.

Sekarang hanya ada mendung di wajahmu. Senyum pun hanya dibuat-buat.

Tidak pernah lagi kamu sespontan dulu. Tawamu yang bak suara kenari di waktu malam kini menjadi teriakan gagak di waktu siang.

Kamu terpaksa memaksa diri untuk segala-galanya asalkan kamu dapat menyembunyikan derita.

Seolah-olah kamu bahagia....sesungguhnya kamu telah gagal berlakon di hadapan abang.Kamu membuat aku marah dengan hipokrisimu kerana kamu menolak kenyataan yang terpampang luas di matamu.

Dia sudah pergi. Tiada lagi di sisi. Lepaskan sahaja dia dari sistem cakerawalamu. Carilah nebula yang lain. Kamu akan jatuh cinta lagi. Percayalah." merayu si lelaki dengan penuh perasaan syahdu. Manakan tidak.Insan yang dia sayangi menjadi seperti daun kering melayang-layang tanpa tujuan di hadapan matanya sendiri.

"Aabanng...Ana tahuuuu...tapi ...Ana rasa sakiiit sangat...' secara spontan jawapan wanita itu menghancurkan hati lelaki itu.Bahu wanita itu terhenjut-henjut. Teresak-esak.Tersedu-sedu.

Wanita itu menekup wajahnya denga kedua belah tapak tangannya lalu menghamburkan segala rasa sendu.Sungguh-sunguh.Sehabis-habisnya.

Lelaki itu kaget.Rupanya selama ini wanita itu menangis sendirian. Hanya senyum terlihat di wajahnya walaupun senyum yang lesu.Lelaki itu tidak pernah menyangka bahawa inilah sebenarnya tangisan yang tersembur keluar akhirnya. Tidak pernah dia menyangka begini hebatnya kehancuran hati wanita itu.

Tiba-tiba lelaki itu terasa sesal. Sesal yang tak terucap.Lelaki itu hanya mampu menahan lara dan menggariskan kedut di dahinya.

"Ya ALLAH, ampunilah aku..apa yang telah aku lakukan ini..." bersandar lelaki itu pada kesempurnaan Tuhan.

Lantas dia memberhentikan keretanya lalu memeluk bahu adiknya, seorang wanita yang sedang meraung di daerah yang paling dalam di hatinya.Lelaki itu berzikir sambil menepuk-nepuk bahu wanita itu.

"Menangislah ..luahkan segala rasa..namun berjanjilah pada abang..suatu hari nanti kamu akan bangkit dari kemelut ini......menjadilah kamu seorang serikandi cinta...lebih tabah..lebih indah..lebih realistik....lebih gagah....kurniakanlah abang harapan ini agar abang tenang...hati abang akan menanti saat kamu berjaya menggapai hikmah...abang sayang kan kamu adik...abang menanti senyummu...mentariku!"

Memang begitulah. Sejarah hidup mereka bersama menguatkan ikatan kasih sayang yang tidak berbelah bahagi antara mereka. Lelaki dan wanita itu mengharung ranjau rumahtangga ibu ayah yang berantakan. Saling memberi tausiyah.Saling berhubungan.Saling berkorban untuk satu sama lain.Semuanya jadi indah.Dan pada saat ini ,saling memberi harapan.

"Oh Tuhan..sinarku sudah ada...di hadapanku selama ini....Alhamdulillah kamu memberikan aku seorang kekanda yang memberiku harapan untuk meneruskan hidupku.'

Amien.


_tamat_


(terimakasih atas dukungan.maybe i should stick to poems..easier!heheh)

Sunday, January 15, 2006

teman

katakanlah wahai teman
kata-kata nasihat untukku
untuk ku pegang selama-lamanya
katakanlah wahai teman
kata-kata bernas untukku
untukku ulang-ulangkan
untukku buat sandaran
jiwa yang menangis
jiwa yang sayu
aku hanya inginkan kata-katamu
tidak ku pinta kau bersama-sama ku
mengharung deritaku
hanya kata-kata
untukku rasa kau mengerti
jiwa aku yang kau rasa
sahabatmu
kata-kata mu menyuci jiwaku
menggilap cahaya harapan
memberi sinar
supaya aku tahu
kata-kata mu ikhlas
kata-kata dari hati yang cuba menjiwai
sakit pilu ku ini
memadailah teman
hanya kata-katamu sebagai
gantimu di benakku

Saturday, January 14, 2006

belasungkawa

desiran hati menutup gejolak
apa gerak hatiku ini
asalnya dari syaitan atau asalnya malaikat
atau berasal usulkan Tuhan?

hati ku berdesir hanya Tuhan yang tahu
hatiku memaafkan hanya Tuhan saksi ku

oh Tuhan
berulangkali dosa-dosa ku kotori tapak hidupku
berulangkali aku resah bersama insan lain
berkedut menahan pasrah?

melutut di hadapanMu menggamit kasihanMu
apa benar aku tabah?apa benar aku pasrah?
Oh Tuhan belasungkawa untuk ruhku
semasa aku hidup mengertikah aku muhasabah?

akan ku genggam janji hamba
mencium-cium tanah suci
walau berbekas-bekas tanah tapak kaki di wajah
mujahadah seorang hamba yang ketinggalan dalam aqidah

sayang seribu kali sayang
masih aku gagal memeluk hidayah yang turun menghujani
makin aku tenggelam dengan selut lumpur noda
lalu ujian datang menampar-nampar pipi
lalu menengkingku beratus-ratus kali
"shollu ...shollu....!!"

Sunday, January 08, 2006

Kamu?

aku tidak bisa berbicara tanpa kata-kata
apa kamu bisa?
aku tidak bisa memandang tanpa resah
apa kamu bisa?
aku hanya insan
lemah selemah iman
tatkala surutnya usaha
aku jadi lemas
dalam pasrah
aku hanya perempuan
diciptakan lemah
tapi aku redho
kerna aku juga
dijadikan gagah
aku mengerti ketidak sempurnaanku
kamu?
aku tunduk rebah pada kesempurnaanNya
kamu?

Huwal AWWALu
Wal AAAKHIR
WaDZOhirul
Wal Baathin
Wahuwa 'Ala Kulli Syain Qadiir

Wednesday, January 04, 2006

At-Thoriq Ila Qalbi...(Teristimewa Untuk MU)

teruntuk insan-insan yang kusayang
ada yang ku cinta kerana senyum nya
ada yang ku jatuh cinta pandang pertama
juga ada yang setelah mengenal jiwa raga
berguling-guling hatiku menahan rasa

teristimewa untuk insan-insan yang ku kasih
ada yang ku kasih kerana kasihnya pada Tuhan
mengetuk-ngetuk pintu hatiku dengan bait-bait agung
melihat mereka taqwaku jadi malu
imanku terserlah kurus
berbanding dengan kemantapan cinta di hati mereka
asyik dengan kalimah ALLAH itu sempurna
maka apa perlunya cinta selainNya?

teristimewa untuk Allah
Kekasih sesiapa yang menjadikan Dia Kekasih
merindui secara batin akan WajahNya
merangkak ke syurga kerana di situ Dia ada
sanggup ke neraka jika di situlah Dia
cinta si Rabiatul Adawiyah menekan jiwa
merasa ni'mat solat sunnah hanya kerana Dia
asyik dengan halawatul iman setelah sabar menanggung ujian
setelah air mata taubat mengalir deras tak mahu henti
hidup di dunia seperti mati kerana jiwa sudah ke sana
melayang-layang mengetuk-ngetuk pintu-pintu rahmat ALLAH
pohon simpati meminta sedekah, cinta, perhatian dari Al Quddus

Oh Tuhan! terlalu banyak ni'mat yang perlu ku syukuri
terlalu banyak titik hitam yang perlu ku suci
terlalu jauh penat lelah ranjau istiqamah
tapi aku terlalu ingin melihat WajahMu
lalu bangun menyempurnakan Taubatku
lalu menerangkan indahnya KasihMu
pada insan lain dan juga diri sendiri
kami semua rindu padaMu!!!

kuncup mawar (aduhai anakku)

kuncup mawar
ummi merenungmu
kelopak belum mengembang
berangin lembut sayu
titis-titis embun
menitik atasmu
sucimu buatku asyik

kuncup mawar
ummi menjelingmu
disirami hujan kasihNya
bergoyang perlahan
terlantun cahaya Nur
mentari pagi Ilahi

kuncup mawar
ummi tersenyum padamu
sesegar sesuci embun pagi
harummu sepi tapi menawan
baumu wujud menusuk qalbu
dalam memori ibu

kuncup mawar
ummi menanti saat
kamu mekar
bak bulan mengambang
menawan kalbu
menabur harapan
memberi nafas baru
menyuntik semangat

kuncup mawar
ummi menanti syafaatmu
tiba seruan
kamu gugur mati
sekelopak syahid
jatuh selembut bayu
di tanah hitam
yang kamu pijak
tangan ummi menyambut
mulut ummi terkumat kamit
ALLAHUAKBAR ALLAHUAKBAR!

Tuesday, January 03, 2006

dari kegelapan kepada NUR

gelap samudera malam
kekufuran melata hitam
namun tidak kelihatan
nista dan dengki menyuap alpa
kekejaman tanpa khabar
menindas hati si pengecut

pengecut dibuai mimpi
impian membolot duniawi
mengidola harta keakuan
jiwa kecut kerdil maka rapuh
kematian terasa jauh terkubur
dalam keranda keasyikan nafsu

pengajaran..
pedoman...
suluhan...
seruan...
doa...
ku telan rakus
ku muntahkan kebejatan
biar kosong perut syaitan
biar penuh piala hati
disinari maghfirah
dihujani rahmah....

Sunday, January 01, 2006

Islam Melayu Somalia Afghanistan

tekak mual
melihat perut buncit
kebulur anak Somalia
enggang menanti
anak menjadi mayat
agar boleh dilahap
mata berkenyit pilu
namun tangan ini jauh
tak mampu menyuap
sesuap nasi
sedangkan hanya
seringgit dua di gerai bawah

sampaikan doa islam melayu
pada islam somalia
yang membuncit perut
menanti kami menadah
tapi kami membuncit perut
dek kesenangan mubazzir

hati melayu resah menjeling
anak Afghan mencarik tanah
mengasingkan nasi yang tertumpah
lalu makan dengan syukur
kerana sesuap nasi bercampur pasir
mengisi perut yang hilang waras

sampaikan doa islam melayu
pada islam afghan
yang menelan batu
memamah tanah berpasir
kami melayu
menelan nasi terbahak-bahak

oh Tuhan
Ya 'Adzim
Engkau Maha Sempurna
maka
Kun Faya kuun
sedetik mengadu
kami insan lemah
kasihanilah kami!

Taman Firdaus

Wahai bunga
Cantik harum menawan
Berapa lama cantik mu bertahan?
Berapa lama harum mu menawan?
Titisan air mata taubat mu
Kumpulkanlah lalu
Sirami kelopak dan daun mu
Kembang disinari Nur Kasih Ilahi
Sabar, redho dan tabah
Walaupun ianya pahit
Jadikan ia baja akarmu
Akarmu subur
Terbenam di kawasan indah
Tanpa lalang dan rampai
Menjerat zat mu
Berayunlah kamu
Apabila angin solat malam
Menghembus sepoi-sepoi bahasa
Lalu dengan embun zikrullah
Engkau pasrah dengan takdir Ilahi
Wahai bunga
Jadikanlah Taman Firdaus
Idaman mu
Selayaknya bunga-bunga yang indah
Tumbuh mekar
Di jannah PEMILIKmu
Selama-lamanya.