Saturday, August 26, 2006

panahan cinta

ke mana perginya cinta
lari jauh dari paksi diri
tenggelam dalam ilusi
menari-nari irama depresi

cinta itu sirna
sengaja dlepaskan jiwa
agar tidak terbelenggu noda
atas serpihan harapan
dalam realiti yang tak mungkin wujud

lepaskan cinta
yang merudumkan kewarasan
berpaksikan nafsu dan mengikut kehendak zaman
cinta boleh berputik lagi
jika ia boleh sirna

namun satu cinta
kekal abadi
cinta yang tidak mungkin difahami
kerana kompleksnya ia
cinta hakiki
antara makhluk dan Sang Pencipta
beronak duri itulah buktinya
membakar serat nafsu bergelora
akhirnya jiwa jadi permata
yang hangus terbakar
adalah noda
maka terbuka luas hijab
di celahan gelap gelita
sinaran kasihNya terpancar
menggeletar jiwa
terpercik air mata
terduduk dalam nasuha!

Thursday, August 10, 2006

epilog cinta Anak dan ibu

Kelahiranmu
Bukan bingkisan yang kamu pilih
Bukan kehendakmu rahim mana kamu tumpangi
Bukan niatmu membebani seorang perempuan lesu

Kewujudanmu
Adalah taqdir Tuhanmu
Tanpa perlu sebab musabab
Adalah ujian bagimu dan ujian bagi perempuan itu

Kelahiranmu
Membersihkan dosa seorang perempuan resah
Memberi sinar kepada raut wajahnya
Memberi senyum
Walau tubuh lesu
Berdarah air mata

Kehidupanmu
Amat bermakna
Rezeki dan qadha qadarmu
Tertulis kering di lauh mafuz
Hidup bahagia atau derita
Sudah termaktub

Kasih sayangmu
Pada perempuan itu
Walau kamu tidak memilih siapa ibumu
Anakku…
Cintamu adalah hadiah termahal
Tak ternilai
Setelah ibu berkorban nyawa
Jiwa dan harta
Memelukmu dalam kandungan
Mengasah amanah ALLAH
Menongkah arus dunia yang nista

Ya ALLAH
Huwal AWWALU
Wal AAKHIR
Wa DZOHIRUL
Wal BAATHIN
Wa Huwa’ala kulli syai ‘in QODIIR….

Tuesday, August 01, 2006

Monolog Buat ISteri Seorang Pejuang

MONOLOG
BUAT ISTERI SEORANG PEJUANG
(oleh Ustaz NAsaruddin Tantawi)

Jelmaanmu merentas bongkah sendu
Mengorban naluri merungkai pilu
Mengharungi gurun tanpa bayu

Isteriku…
Kehadhiranmu adalah mustika
Mengerlip cahaya sakinah
Laksana bintang membentuk arah burujnya

Isteriku…
Saban waktu , dirimu abdi di gobokku
Senyum manismu menenang jiwaku
Kerlinganmu mengorak senyumku
Kesetiaanmu menyejuk mataku

Isteriku…
Ketika kesejukan mataku
Memandang wajahmu duhai isteriku
Memori ini mengimbau zaman remajaku
Dikala kuhamparkan tangan ke awan biru
Merintih harap isteri yang solehah
Penyejuk mata dan penyeri rumahtangga

Isteriku…
Di senjakala , ku menongkat resah
Dirimu tersangkar dalam kemiskinanku
Dirimu tak punya manikam permata untuk kukalungkan
Tiada nota ringgit untuk kuunjukkan
Tiada lambang kemewahan untukku hamparkan
Dirimu hanya ku langir debu
Ku balutkan jubah
Ku hilangkan dahagamu secangkir Cuma
Ku hambat bosanmu seketika sahaja

Isteriku…
Di hening subuh ku merenung sayu
Dirimu kesepian dalam kesibukkanku
Hari - hari berlabuh kita berasingan
Kesedihanmu , sementara diriku di medan
Kesakitanmu pun tiada aku disisi
Rumahku , dirimulah penanti setia
Sementara bagiku , ia hanyalah dangau persinggahan

Isteriku…
Dirimu masih setia dalam sangkar yang sepi
Demi nilai cinta dan ketaatanmu

Isteriku…
Dongaklah wajahmu ke atas
Hulurlah tanganmu ke hadapan
Tabahlah duhai isteriku
Tidakkan ku sia siakan hidupmu
Kan ku hidangkan ilmu buatmu
Kan ku bawamu ke alam perjuangan
Kan ku hantarkan ke perlembahan hidayah

Isteriku…
Bajailah cinta kita
Tenggelamkanlah kemelut rasamu

Isteriku…
Diriku tetap setia disampingmu
Sungguhpun kita jarang bertemu

Sayang isteriku…
sayang isteriku