Wednesday, March 28, 2007

jalan,gagak putih

gagak putih

jalan ini jauh
pastikah kamu?

jalan ini jauh
kuatkah kakimu?

jalan ini sunyi
sanggupkah kamu?

jalan ini sunyi
cemaskah kamu?

jalan ini gelap
nampakkah kamu?

jalan ini buruk
jalan ini panjang
jangan menoleh belakang
sebab kamu tiada pilihan
ketentuan Tuhan
kamu seekor
gagak putih
terbang seorang

Monday, March 26, 2007

khusyuk korban

yang tersembunyi
dalam Asma -Mu
acap kali kutenung
tidak kumampu

kusebut- sebut jua
kupangil-panggil
kupaksa-paksa
kuseru-seru

setiap
semua
ayat
tersimpan Asma mulia
tersirat dalam untaian bahasa syurga

tersentak
bila sekali -sekala aku diinsafkan
bila sekali -sekala aku dibukakan hijab
melihat

ada rindu terbit
pada yang Satu
tertanya-tanya bila
mungkinkah melihat
WajahMu
setiap detik hampir
dalam kacau- bilau noda
KasihMu
mencurah harap
tak hilang

dunia memperlekeh
cinta dan rindu
dicemuh -cemuh
biarkan
tiada selain
tempat bersandar
musafir ingin mudik
pada Jannah-Mu
menongkat dagu melihat

impian rindu seorang hina
di penghujung jalan
penuh dosa
bersuci di kali taubat
menyirami haus
khusyuk
korban

Saturday, March 24, 2007

Singgah Kekasih

terucap hiba meniti sedar
jiwa pun tergagap syukur

Kasih-Mu pantang dilakar
sinaran sejuk Nur-Mu

ketika segalanya senyap beku
jemari membelai selimut dunia
menambah lara di hati

lantas untuk apakah?
menanam bibit rindu?

menanggung dilema kenangan
kasih sejati Ilahi dan Nabi
benih cinta yang tak mahu kupadam

lembut sutera syurga
Asma-Mu menyandarkan naluri

rehat adalah zikir
pertarungan sarakah
ruh dibajai sabar dan solat!

Wednesday, March 21, 2007

sesaat panahan syahwat

gerak-gerakkan
lidah beku
keras
liat
lalu terhambur
"..laaaaa ila ha illALLAH......."

lalu dingin
hati panas
keras
cair di hujung musim
menitik-nitik air salji
mengalir di tekak
kering-kontang sahara

"....Muhammadur Rasululullah....."
dari lidah ke hati
terusan air buka luas
basah kuyup lubuk-lubuk kotor
berkelodak najis

keluhan akhirnya terpancut
hanyir putus asa
hidup dunia
dihirup gelojoh
dibelai kekasih
dipeluk anak
wang perhiasan
sekarang..cepat!

jujur sejujur
hilang segala kekal
kerana sedetik tidak sabar
sesaat panahan syahwat!

Tuesday, March 20, 2007

Yang Mencintai

ditaqdirkan
tanda Kun Faya Kun
namun menidakkan
menolak tepi
bukan kehambaan!

kehambaan
rantai membelenggu
namun
ketundukan sudi pada cinta- Nya
bukan dipeluk dibelai dipegang
berlabuh di daerah parah
berdarah tabah menahan amarah
disuap indah sehingga kenyang sakinah
manifestasi cinta suci

keringanan pada jiwa menggila
kerehatan minda yang lemas
kelelahan tekanan
lerai mengalir seperti air hujan
membersih kekotoran
tinggal hanya takjub dan ternganga
indahnya pertolongan suci
tenangnya gelora di hati

makin tunduk
tidak ' ujub

makin faham
tidak riya'

makin sujud
tidak takabbur

Monday, March 19, 2007

mata ini mulut ini

MATA INI, MULUT INI

tidak merayau ruhku di alam fana
jika dapat kuselami barzakh
tidakkan kuhampiri batasan maksiat
jika kulihat dengan mata kepala
hatiku bernanah berulat!

mengapa tandus jiwa
sedangkan rahmatMu bertebaran
benarkah hatiku berdosa
pandangan hatiku buta?

mulut ini kurniaan-Mu
masih Kau isi kenyang dengan nasi
walau sering mencebik keluh
bibir merah ini merah jambu indah
merekah kering dari ucapan syukur
lisan berbisa terlepas kendali

mata ini kurniaanMu
melihat tidak pada Ni'mat-Mu dengan puji
tidak endah berzina langsung menzalimi hati
namun masih Kau beri aku lihat lontaran kasih
wajah ceria kusayang
merakam bahagia tersimpul senyum

cukuplah
berselerakan 'aibku
tak larat kusenandungkan
tak layak aku mengemis

Tuesday, March 06, 2007

tahajjudku

tahajjud
ku sujud
ku pujuk
hatiku tunduk
Rahmat-Mu
ku pohon sangat
belas Kasih-Mu

sudah tidak ku ingat
bila kali terakhir
ku sapamu?

seikhlas di saat keenakan dalam sepi
ku teguk rasa rindu menyentuh sayu
kalbuku tunduk menyepi tersipu

tersingkap hijab akhirat siapa rajanya
di dunia kabur dek silauan emas
kepura-puraan sirna
mulut terkunci tutup
dada berdegup kecut!

Monday, March 05, 2007

ajak

aku mendengar
seorang wanita menjerit
tolong
kerana perit disimbah duka
ajakku menangis

aku melihat
seorang wanita
melambai tenang
bertelekung putih
berdiri di atas sejadah
ajakku berharap

aku menarik nafas
siapa wanita itu
mungkin aku
mungkin kamu
ajarku bersabar

Sunday, March 04, 2007

sekuntum seroja

sekuntum seroja
tenggelam
kabus selimut
basahan embun
taburkan air mata

sekuntum seroja
ciuman penglipur lara
ramas kelopak halus
tercabut akar rakus

sekuntum seroja
kutipan sang sufi
belai hembusan nafas
gugur debuan najis
selawat direnjiskan
alFatihah didoakan

sekuntum seroja
nur taubattunnasuha
tutupkan titik 'aib
tumbuhkan titik putih
semadi hidayah Tuhan
kekalkan selamanya