Sunday, October 28, 2007

amuk menjadi sepi


sebagai aku ini
engkau meratapi
tak beerti hati
menuntut janji

tikaman di dada ini
berkali bertubi
seretan kaca menghiris
tertelanjang jantung

perit ditelan
bukti nafas bersabar
turun-naik berombak
menahan belati
menusuk lagi

denyutan nadi
bersemadi di celahan
genggaman Tuhan
Rabbul 'Izzati
sipemilik hati
amuk menjadi sepi

witir Ramadhan, azan Syawal



suara yang berbisik itu sudah lena
kepenatan sedari tadi merempuh gegendang
bagai gigitan nyamuk ia berlalu pergi
tidak diendahkan empunya akal fitrah

hati yang berbisa sudah tegal biasa
melahap sunyi memekap mulut
keluh yang menjahanam sabar
rungut yang mengikis redho
menemani tatkala sendiri merenung mega

langit fajar dan maghrib
tetap bersatu dalam sendu
tanpa berpegangan tangan meniti horizon
manisan kurma dimamah air mata
bekalan berbuka

Ramadhan berwitir dengan sepi
Syawal mengazankan takbir
jiwa-jiwa rontok makin kebal
jiwa-jiwa sesuci bulu pelepah merpati
berterbangan dalam keampunan-Nya
berlabuh di dedaunan Rahmat
selamanya berkat

penipu mencanting


penipu yang mencanting penipuan
terlalu dekat menghasut sebuah rekaan
membisikkan keraguan
menggoyahkan keyakinan
meranapkan kesabaran
meletusnya kemarahan

semuanya satu pembohongan
was-was dihembus syaitan
jangan diturut
nanti dituntut
keadilan melawan kezaliman
pasrah itulah
kerusi sandaran
kehambaan tanpa persoalan

akhirnya


dan jiwa pun merindu
tercari-cari bait yang bersyair
juga bait terindah
mungkin berselendang bayang-bayang

suara kalbu yang indah
hanya bila berhembus
menjeling indah berpaut rindu
kalungan resah bersenandung

bak tiupan seruling kalbu
merasuk hari meracun malam

insaf pun mahu menitis


hati subur duduk berzikir
di sisi sepasang nisan
penghujung pesisiran hidup
baru berkubur semalam

lama sungguh penantian
baru kelmarin
sebelum subuh semalam
insaf pun mahu menitis
saat nyawa hampir pulang
ke pangkuan Pemilik-Nya

HUSNA


SubhanALLAH

tangan masih bertulang
mengangkat berat
antara dosa pahala

jiwa masih berhembus
kabus yang putih
sejuk dingin girang

terik mentari mengundang
merah padam kemarahan
lidah tak bertulang
basah mengulang-ulang
Asmaul
Husna

Thursday, October 04, 2007

sampai mati


mendesah sebuah turutan gelisah
satu demi satu resah diperah

sehela nafas yang diseru
ke mana hendak dituju?

mati yang dimengerti
mengapa sering berpasir dalam hati

kiamat yang mendekat
maka berkulat tertawa yang dibuat-buat

mati adalah kiamat
kiamat adalah tamat
riwayat

esastera dan aku


esastera
kutinggalkanmu sebentar cuma
di bumi mana kuberlabuh
mencari sesuap nasi untuk anak-anakku
kenangan bersamamu menyimpul senyum
tak terungkai malah
makin sakit makin jauh
tali setebal ini kau ikat pada jantung hatiku
takkan putus kerana di sini lenaku
kalbuku tenang di kalimu