Sunday, April 30, 2006

2.Mulia Jilbab

Gadis itu bukannya tidak terkesan dengan perbuatan teman-temannya. Terasa dirinya seperti seekor kucing yang sedang meniti bumbung zink yang sedang membahang. Melepuh kulit kaki kucing itu tepaksa juga mengharung kepanasan untuk sampai ke destinasinya.Gadis itu juga tidak sempurna. Dia hanya insan biasa. Cuma dia amat fasih berbahasa Inggeris dan amat menyenangi bahan bacaan berbahasa Inggeris. Namun seperti pelajar lain, dia sedar dia bukan genius. Bidang perundangan bukannya mudah. Apatah lagi untuk memahami konsep-konsep legal perundangan buatan manusia.Segala buatan manusia memungkinkan perubahan menurut zaman. Tidak pernah statik. Malah hanya berlatar belakangkan pemikiran insan semata-mata.

Bukannya tidak ada teman-teman sekuliah yang tidak simpati dengannnya. Tetapi dia tidak vogue. Rigid. Bersahabat dengannya hanyalah berbual-bual mengenai perkara-perkara yang serius. Pelajaran. Agama. Walaupun dia sentiasa nampak terbuka, tetapi dia tetap kolot bagi teman-temannya. Sering menolak diajak keluar malam dengan pelajar-pelajar lelaki yang lain. Walaupun mengikuti rombongan ke pantai beramai-ramai dia sering menolak dengan baik.

Ada juga pelajar lelaki yang meminatinya. Namun mereka tidak mengerti cara yang terbaik mendekatinya. Mengutuskan surat ingin berkenalan terus ditolak dengan baik.Kalau pelajar perempuan yang lain, amat mudah mendekati malah dengan senang lenang dapat memujuk mereka duduk di atas riba sambil disentuh tubuh badan mereka. Namun di dalam hati pelajar-pelajar lelaki itu , mereka menganggap mereka hanya perempuan murahan sahaja.

Turun naik dalam pelajaran merupakan perjuangan yang terpaksa gadis itu lalui. Dalam mata pelajaran selain dari perundangan , dia amat lemah, Matematik dan statistik sering menjemukan dia.Sejauh manapun usahanya , dia gagal mendisiplinkan dirinya membuat latihan yang berkekalan.Malah sering juga dia hanya sekadar lulus dalam ujiannya.

Ditaqdirkan Tuhan, dia dan seorang pelajar lelaki sekuliah terpaksa menduduki peperiksaan semula pelajaran yang paling dia kurang minat. Jika gadis itu gagal, terpaksa dia membuat rayuan untuk meneruskan kuliahnya. Bertungkus-lumus gadis itu menelaah. Akhirnya dia lulus walaupun hanya cukup-cukup makan.

Pelajar lelaki tersebut juga lulus seperti gadis itu. Dia juga lemah dalam pelajaran yang serupa. Dalam diam lelaki itu menaruh perasaan yang tidak baik kepada gadis tersebut. Dia seolah-olah tercabar dengan kemuliaan seorang gadis. Gadis yang tidak mudah diperlotak-katikkan. Tidak mudah terpengaruh dengan pujuk rayunya untuk makan tengahari beramai-ramai dengan teman-teman sekuliah yang lain.Gadis itu baginya seorang yang sombong dan angkuh. Tidak seperti teman-temannya yang lain. Dengan mudah diajak makan berduaan. Dengan mudah dipujuk rayu. Hanya gadis itu sahaja yang mengangkat dirinya terlalu mulia untuk lelaki itu dekati.

Lelaki itu solah-olah nekad mahu mengganggu gadis itu. Sengaja dia duduk bersebelahan di waktu ada kesempatan itu. Sengaja merapati gadis pemalu itu. Gadis itu benci. Kadang-kadang pekajar lelaki lain yang memahaminya menegur dengan keras lelaki itu supaya menjauhi gadis itu. Kasihan gadis itu menjauhkan tubuhnya yang tersepit di antara dinding dan lelaki itu.

Tatkala mendpat keputusan peperiksaan yang amat kritikal itu, lelaki itu dengan bersahaja menjerit kegembiraan dan melaungkan sorak. Secara tiba-tiba dia mendekati gadis itu sambil berkata:.

"Wah engkau lulus juga. Aku pun lulus. Fuhh leganya hati ini.hahaha"

Dengan selamba dia menyentuh bahu gadis itu denan penuh kelelakian. Dengan tidak berhati perut, dia telah menjatuhkan maruah seorang gadis muslimah yang berjubah dan bertudung labuh.

Gadis itu kaget dan panik. Tersirap darah di wajahnya. Tidak pernah terlintas di hatinya bahawa lelaki itu seberani dan seangkuh itu. Tidak pernah tercetus di hatinya untuk mengelakkan diri dari sentuhan tadi. Gadis yang naif itu sentiasa bersangka baik dengan sesiapa pun. Tidak pernah dia memikirkan bahawa ada juga insan yang jiwanya busuk berpenyakit. Yang benar-benar berniat jahat padanya.

Gadis itu terus berlari pulang ke asrama. Di dalam kesedihan yang amat dia memuhasabah diri sebanyak-banyaknya. Apa silapku ya TUhan? Sehingga aku diperlakukan begini. Sehingga ada seorang lelaki sanggup menyentuh diriku tanpa malu dan tanpa diundang. Adakah aku tidak cukup menjaga diriku? APAKAH SILAPKU?

bersambung

0 Comments:

Post a Comment

<< Home