Friday, April 28, 2006

Mulia Jilbab

Semalam nostalgia itu menuruni lembah kenangan. Setelah sekian lama lembah kenangan itu dibiarkan sepi, tiba-tiba disimbahi pertanyaan mulus. Lembah kenangan itu dihujani lagi. Semoga kekeringan asas tanahnya yang berdebu menjadi lebih berkhasiat untuk menyemarakkan asas nawaitu sesuatu amalan.

Kenangan itu bermula di satu saat seorang gadis itu amat naïf. Amat idealistic namun idealismenya di tadahi Rahmat Tuhan. Seolah-olah tercetus suatu revolusi dalam dirinya yang kecil. Sanggup menentang arus kemodenan dan kebiasaan nafsu yang bermaharajalela di kalangan pemuda-pemudi.

Gadis sunti itu bepakaian jubah dan bertudung labuh. Pada saat-saat kemanisan Islam dan Iman dikecapi pada usia remaja, dia mentaati sunnah dengan berpakaian serba kusam dan memahami erti sebenar indahnya berselindung di bawah selendang ‘aurat.

Namun ujian yang dihadapi setaraf dengan penghayatannya pada Islam. Dia bertegas memilih jurusan yang dia minati iaitu perundangan Inggeris. Lagipun dia berlatar belakang pendidikan Inggeris dan bersekolah berasrama penuh. Baginya Islam tidak menghalang apa-apa jurusan ilmu jika nawaitunya mantap Lillah.

Nawaitunya yang suci dibekali semangat yang tinggi serta ruh jihad yang menggunung. Indah bersinar dalam sekeping jiwa yang bersih. Namun setelah bebrapa lama berada dalam kelas perundangan, satu demi satu tamparan yang dia hadapi.

Gadis sunti itu bagaikan kambing hitam. Teman-teman sekuliahnya mengikuti trend pakaian. Berpakaian kurang dan sopan pun kerana formality. Tanpa menghiraukan aurat yang sengaja dipertontonkan itu , dicela atau diidamkan oleh pelajar lelaki yang melihat. Mereka berbangga dengan keremajaan, mendabik dada dengan angkuh dengan kebebasan yang akhirnya dikecapi.

Gadis sunti itu menjadi pariah di dalam kelas pengajiannya. Bukan teman-teman saja yang menjauhinya malah pensyarah perundangannya pun memandang serong padanya. Penampilannya seperti awan mendung di celah-celah keceriaan pelajar-pelajar yang lain. Teman sekuliah merasa tertekan kerana terlihat kelibat ustazah yang sentiasa menjeling mereka yang sering berjoli sakan di dalam kelas. Teman-temannya rimas walaupun gadis sunti itu hanya membisu seribu bahasa. Walaupun diam, kehadiran gadis itu di suatu sudut di kelas seolah-olah seorang malaikat maut yang menjatuhkan hukuman terhadap kebejatan nafsu mereka. Namun gadis itu tetap tidak pernah melafazakan teguran ataupun nasihat. Dia hanya membenanmkan diri dalam buku-buku teks undang-undang Inggerisnya.


bersambung

0 Comments:

Post a Comment

<< Home