Friday, October 07, 2005

Do'a yang tak henti


bulan suci... Posted by Picasa


kesedaran
menongkah waktu sezaman
mengapa taqdir yang menimpa
hati tidak berlapang dada?

keinsafan
menerjah keduniaan
mana layak disandari iman
setipis kulit bawang?

Ramadhan
aku insaf
kini terserlah siapa sebenarnya iman ku ini
penuh nifaq
penuh dengki
mahukan kebahagiaan dunia
tidak sabar menanti syurga?

Oh Tuhan
akan ku sebut namaMu
berulang kali tanpa aku rasa putus asa
menjadi kehormatan bagi ku yang hina
terpilih di Ramadhan ini
berzikir AsmaMu yang indah
walaupun aku sehina lidah
namun KemuliaanMU tetap terserlah
walau tanpa keta'atan aku yang lemah

Oh Tuhan
bila aku jemu menyebut "Oh Tuhan"
tandanya nifaq menguasai hatiku
sedangkan aku amat amat memerlukanMu
mengalahkan ego dan mazmumah di hati
air mata ini tidak mahu keluar insafi
keras batu hati ini
lalu apa aku ahli jannahMu?

Oh Tuhan
muliakan aku
tempias dari mulutku
biarlah kumat kamit zikrullah
busuk bau mulutku
biarlah seharum kasturi
sakit sabarku
biarlah seindah Asiyah
resah redhoku
biarlah sehangat Hajar
kuat istiqamahku
biarlah serindu Rabiatul Adawiyah
heningnya setiaku
biarlah segagah Khadijah

Oh Tuhan
doa yang tak henti-henti
selayaknya dariku
aku takut
bila pintu doa dan taubat
telah Kau tutup
tangisku
doaku
adu ku
langsung tidak ada ertinya lagi!

0 Comments:

Post a Comment

<< Home