Sunday, February 19, 2006

Ika , Ayah dan Tuhan

Dahulu pernah, Ika dimarahi ayah. Bukan dimarahi. Itu bukan perkataan yang setimpal dengan sakit di hati. Sebenarnya dia ditengking, dimaki, dihamun ayahnya.

"Babi! Kepala otak kau! Bebal! Apa kau ni tiada otak? Tak boleh fikir?" Terus menerus kata-kata yang menghiris hati dilemparkan satu demi satu. Ika rasa seperti ianya takkan berhenti. Berterusan selama-lamanya.

Apa? Neraka ini.

Sebuah tamparan kuat hinggap di pipi. Sakit.

"Ika benci ayah!Mengapa engkau ayahku? Mengapa Tuhan buat begini kepadaku?"

Pada saat itu,Ika hanya gadis sunti. Masih kecil.Masih hingusan.

"Apa gadis-gadis kecil sepertiku ini tidak boleh tersilap?"

"Salahku apa? Hanya kerana adik-adikku buat bising sehingga mengganggu ayah tidur? Maka aku diperbuat begini?"

"Betapa aku benci ayah sehinggakan aku tidak dapat mencari perkataan yang sesuai untuk ku luahkan"

" Oh Tuhan! Sakitnya hati ini. Tidak dapat ku gambarkan. Tependam di sudut hati yang terdalam. Aku begitu benci padamu..ayah."

Air mata oh air mata. Bilakah saatnya tiba engkau kan berhenti mengalir selama-lamanya? Apa, bila saat ku mati?

Oh Tuhan. Sakitnya tidak terperi. Menongkah arus masa silam yang sering menghambat diri. Perit bukan perkataan yang setimpal dengan sakit di hati.

"Bagaimana harus ku manifestasikan benci dan dendam di hati? Aku bak sampah di hadapan mata ayah. Sedangkan aku darah dagingnya. Untuk secangkir perhatian dari ayah kandung terpaksa aku bertungkus-lumus berusaha menjadi yang terbaik dalam segala. Pelajaranku. Perangaiku. Barulah tenang hati ayah."

Ironi. Ika tetap sayangkan ayah. Walau benci sering buat Ika menyumpah dia mati.

"Cepat-cepatlah mati agar aku boleh hidup sendiri.Duit tidak menjadi masalah sedikitpun kerana hati ini telah mati. Keras membatu."

Tanpa kasih Ika jadi berdikari. Mencari kasih dan belaian dengan melukis dan menulis di atas kertas- kertas kaku dan bisu tanpa respon kepadanya. Tanpa sentuhan kasih insan. Terumbang-ambing mencari erti.

Perjalanan sudah jauh. Itu dahulu. Namun sakitnya seperti baru semalam. Ika sudah matang. Menempuh kehidupan seperti yang sering dia harapkan selama ini. Sebagai insan normal. Normal jiwa. Normal minda. Sebab selama ini Ika seperti sakit jiwa. Merasai sakit walau tidak terlihat secara fizikal. Ika mengetahui ia sebagai hakikat. Kemurungannya. Keinginan mencederakan dirinya. Dunia yang indah menjadi seperti penjara di dalam mindanya. Ika sedar dia sakit mental.


Ironi. Tuhan yang dianggap membencinya itulah juga Tuhan yang telah menyelamatkan Ika. Dalam diam, Tuhan mengabulkan doa-doa yang Ika laungkan dalam derita. Diberinya ubat penenang hati dengan diberi Ika kelebihan membaca Quran dengan mudah tanpa bimbingan yang formal. Merangkaklah Ika membaca pada mulanya namun dia tetap tegar meneruskan usaha. Setiap hari melaungkan ayat-ayat suci di daerah hati yang sedang kemurungan.Maka tenang. Tenang menguasai diri.Bukan bahagia yang meyebabkan dia senyum tertawa. Tapi tenang yang menyebabkan dia bertambah ceria. Terutama di sebuah daerah sunyi bernama hati. Sekian lama berdarah luka .Kini tinggal parut-parut hodoh namun tiada yang dapat menghalang parut-parut itu dikurangi selagi usaha mendekatiNya diteruskan.

Oh Tuhan .Perit tetap perit. Namun ditemani kasih Tuhan yang manis sekali, Ika meneruskan saat-saat kehidupan. Bolehlah bertahan menongkah arus. Keperitan yang diiringi kemanisan iman maka membuahkan sebuah kehidupan yang memuaskan untuk Ika Ika seolah-olah normal. Tanpa merasai dia mangsa kepada masa silamnya.

Akhirnya, akhirnya, sebelum ayahnya menghembuskan nafas terakhir, akhirnya, Ika memaafkan ayahnya sepenuh hatinya.

" Ayah! Aku maafkan engkau ayah...segala derita menjadi beku lalu mengalir bersama kehangatan kasih Tuhan kepadaku. Habis bersih dosa-dosamu padaku seperti habis bersih dosa-dosaku ku harap dari Tuhanku keampuananNya."

Saat terlafaznya kemaafan dari lubuk paling dalam hati Ika, tiba-tiba merecik air mata air kasih sayang yang suci dari bekas parut-parut hodoh di hatinya. Ika merasai kasih yang tiba-tiba menyapa hatinya terhadap ayahnya. Ayahnya yang wajahnya sekarang sudah berkedut seribu. Tangannya tidak segagah dulu. Malah ajalnya kian hampir.

Ironi.

"Ayah Ika sayang pada ayah. Kasih Ika tak pernah padam walau Ika tak pernah merasainya dari ayah. Sebab Ika anak ayah...ayah tetap ayah Ika.."

Kini air mata bahagia melimpah keluar. Bukan air mata kebencian . Bikan Air mata dendam. Tapi air mata kemanisan. Kesucian. Kerana ia terbit dari hati yang memaafkan.

"Ayah!"

tamat

0 Comments:

Post a Comment

<< Home