Sunday, June 25, 2006

momentum

azan
launganmu serupa dengan jeritan
para syuhada' yang gugur
tidak sesaat mereka gugup
walau tersungkur
menelan pasir

muazzin
suaramu gegak gempita
memperingati titik peluh
para anbiya'
menanamkan benih cinta

muzakkir
peringatkanlah
walau hidayah itu bukan milikmu
yang Esa memilih mutlak
mana satu hati pilihanNya

'abdullah
sahutlah
sungkurkan diri
terjelepok
mencium bumi

bilakah giliran
penantian bakal syuhada'
menitip noktah?

Sunday, June 18, 2006

Dunia

seperti diulit mimpi
iramanya merdu buluh perindu
terasa diselimuti kepompong
berterbangan si rama-rama
keluar menambah seri warna

seperti ditiup angin subuh
sejuk tidak dingin
panas tidak hangat
cukup membelai tubuh lesu
bangun sesegar embun

khayalan berselaput dunia
fantasi mendodoi lena
hasutan syair iblis
bergurindam mendendang
menutup hati gelap
pintu hidayah tutup rapat

dunia oh dunia
apa engkau selamanya?
bahagia itu di mana?
syurgamu terperosok di mana?
tenangmu hanya sementara
kegilaan menjadi ketagihan
bebas lepas tanpa batas
sempadanmu neraka?

dunia oh dunia
penjelajahanmu sementara
kebahagiannmu menipu dusta
yang hanya ada di penghujung
sebuah jalan mati
dahaga kembali
temui neraka mu
dunia oh dunia!

Tuesday, June 13, 2006

mungkin aku...

mungkin aku tidak mahu menangis lagi
lalu ku cuba lari bersama seraut maksiat

mungkin aku tidak mahu derita lagi
lantas ku zahirkan kekosongan hati

mungkin aku tidak mahu keseorangan lagi
lalu ku luaskan sayap di luar batasan suci

mungkin aku berasa lesu bermujahadah
maka aku menelusuri jalan nafsu yang meruntun

mungkin aku tidak mahu mengikuti jalan yang lurus ini
terlau payah tanpa berteman tanpa perhatian

mungkin selama ini nawaituku tidak suci
tidak ikhlas menjunjung ilmu
tidak lurus menuju akhirat

Oh Tuhan
mungkin aku sedang berada di tebing neraka!
Oh Tuhan
selamatkan aku...selamatkan aku.....

Sunday, June 11, 2006

Cinta Bunda

senyummu menggamit hati bunda
bersih raut wajahmu
menyimpulkan semyum malu
tersipu-sipu dalam kesucianmu


suramu penghibur lara bunda
bercerita tentang kenormalan hidupmu
mudah bersenda gurau
kenakalanmu menggeletek hati


indahmu nama seoranng pahlawan
lembut hatimu seindah seniman
senyumanmu yang menagih perhatian
tanpa tawamu bunda gusar sekali

matamu yang bundar bak bidadari
senyummu manis sekali
pelukanmu tatkala bunda hiba
memandam derita sekilas angin berlalu

wajahmu yang tenang
seraut kebiruan lautan
sikapmu ceria tanpa dosa
menyerlahkan kekuatan seorang serikandi