Sunday, May 28, 2006

lapisan kegelapan

langit pertama
selimut gelap
memayungi bumi jiwa

tiga lapisan kegelapan
hati yang keras
insan yang menguji
syaitan yang menzalimi

Laa ila ha illa Anta
Subhanaka inni kuntu minadz zolimiin

semoga terlerai ikatn bayang dosa
selama empat puluh hari
empat puluh malam
zikrullah di sambut tangis
diangkat hijab
satu demi satu langit
zulumat di sinari keampunan

lepaskan rantai belenggu
menjauhkan insan dariMu
perjalanan hidup makin tamat
walau dunia semakin muda
hakikat mati semakin dekat

ya Tuhan
kurniakan kami nur di atas nur
jiwa merdeka berterbangan
walau tangan dirantai
kezaliman nista dan kufur
tubuh disebat cemeti kejahilan
hati redho dengan celaan
senyum dengan tamparan
sunnatullah perjuangan!

Wednesday, May 24, 2006

KesempurnaanMU

di sisi sejadah hijau
di sebalik langsir ditiup angin subuh
telekung usang bergerak-gerak
tudung yang labuh menutup tubuh
bayangan jari jemari tersusun rapat
mulut berbisik-bisik pada Tuhan
terkumat-kamit mengucapkan pujian
tersipu-sipu mengucapkan selawat

doa berkumandang walau hanya desiran di celah bibir
bahu terhenjut-henjut menahan sendu
di sebalik telekung yang putih berseri
bergema doa seorang hamba menunduk begitu hina

Oh Tuhan
air mataku ini hanyalah airmata taubat
bukannya air mata rindu pada Mu
kerna keampunanMu ku seru dulu
tidak layak insan cela seperti ku
malah berkhayal mendapat rindu kepadaMu

Oh Tuhan
setakat aku bernyawa
Engkau lah yang menemani
memilihku di antara umatMu
dicurahkan KAsih yang tidak berbelah bagi
dariMu yang MAHA PENGASIH

selama aku bermonolog
sebenarnya aku berdialog denganMU
kalamMu adalah firmanmu
kata-kataMu menjawab persoalanku
kasih Nabi kepadaku
juga tiada sempadan
masihkah ada harapan untukku
melihat kelibat NabiMu
di akhirat kelak?

YA 'Adzim
KesempurnaanMu
ku sandarkan kehinaanku
sehina aku
masih ku zikir AsmaMu
kerana Engkau MAha Sempurna!

Sunday, May 21, 2006

tahajjud

tahajjud
sudah lama aku menyendiri
menjauhkan ruhku darimu
sudah tidak ku ingat bila
kali terakhir aku menyapamu?

tahajjud
bagaimana harus ku dekati Cinta hakiki
bagaimana harus ku luahkan rasa hati
seikhlas di saat keenakan dalam sepi
ku teguk rasa rindu yang menyentuh sayu
qalbu ku tunduk menyepi tersipu

tahajjud
ku lebarkan hati dengan tekad dan doa
matlamatku merasai kemanisan iman
Rasul, Nabi, sahabat dan tabi'ien
mendekati Pencipta langit dan bumi
tersingkap hijab akhirat siapa Rajanya
di dunia kabur dek silauan emas kepura-puraan

tahajjud
aku sujud
ku pujuk
hatiku tunduk
Ya ALLAH RAhmatMu
ku pohon sangat
belas kasihanMu!

Friday, May 19, 2006


kelopak iman sesuci kelopak bunga Tuhan Posted by Picasa

akulah...

oh iman
ke manakah kamu?
berlarian aku mengejarmu

oh iman
aku berkhayal selama ini
hanya satu escapisma
aku sudah cukup, cukup baik
oh tidak sebenarnya!

oh iman
selama engkau ku isi dalam karung nurani
kerinduan menjadi-jadi
terhenti langkah
betulkah arahku?

oh rindu
betulkah rindu
atau hanya perasaan yang bermain
hasil dari hasutan duniawi
bisikan syaitan yang dengki?

dalam rindu
aku berselimut dosa
dalam melafazkan cinta
aku berselindung di sebalik nifaq

oh diri
mengapa oh mengapa
kamu berkata apa yang tidak kamu lakukan?
amat besar oh amat besar
kemurkaan Tuhanmu
bila kamu mengatakan
apa yang tidak kamu lakukan?

on pintu Taubat
bukalah luas oh bukalah luas
untuk seorang hina
akulah..akulah....!

Sunday, May 14, 2006

Ombak

letakkan tapak tangan mu di dada mu
dadamu berombak-ombak menahan rasa
rasa itu mengetuk-ngetuk pintu hatimu
nafasmu turun naik terasa padat
sesibuk simpulan tali kehidupan

hati mengatakan sesak
ruang rehat menjadi sempit
tapi kubu nafsu mu kuat
mantap dek pagar iman
terbuka hanya bila kamu melonggarkan mangganya

hati mendengar sabar dilaungkan
tabah diwar-warkan
sejuk ditaburkan
air mawar iman ditumpahi Tuhan
berhenti jangan serunya
berehatlah menarik nafas panjang sebentar

hati merasa tenang
walau dinding-dinding iman bergoncang sekali-sekala
susah senang saling menekan
senang perlu bersyukur
susah perlu bersabar
takkan henti
selagi nafasmu berombak-ombak masih
di bawah tapak tangan mu
yang kau letakkan di dadamu!

Thursday, May 11, 2006

Malu

saat yang berlalu menghembuskan doa padaku
teruslah kamu mendekatiNya
Dia bersamamu....

pada subuh hari tertidur nyenyak
masih lagi dibangunkan dengan kasih
tiada yang membentak
seperti Zabaniah menengking sesal
masih lagi dibelai sabarnya Tuhanmu...

mulut masih disuap nasi
air enak masih mengalir di kerongkong
walau masih rindukan belaian nafsu
namun Tuhan masih membelai kehendakmu
masih lagi keluhan berbalasan antara insan kerdil

inilah sajakku padaMU Tuhan
bait-bait kejujuran, dosa-dosa dan harapan
jangan Kau tinggalkan aku Tuhan
tunduk aku kepalaku berat memandang WajahMu
malu!

Thursday, May 04, 2006

marilah, kata bidadari itu....


marilah..kamu sudah di penghujung jalan... Posted by Picasa


di bahumu terpikul derita yang amat
menghiris benak selapis hirisan yang halus
dikerat sedikit demi sedikit amat perlahan terus-menerus pisau dibenam
ke dalam sebuah hati seorang wanita yang makin dimamah usia
sekeping hati mengimpikan cinta seorang yang ikhlas

aku semakin tua kata hatinya
adakah lagi peluang mencintai dan dicintai?
mukaku makin berkedut keluhnya
adakah lagi ketegangan wajah daya penarik si lelaki?

aku tidak secantik dulu
tubuhku tidak sepejal remaja
gigiku tercabut di sana sini
senyumku hanya menayangkan kedut seribu di wajahku

namun ditepis segala keluhan rasa resah
ya, masamu sudah berlalu, mudamu sudah kau teguk rakus
saat alpa ada kamu ingat kesan di hari tua?
kamu kan menuju mati
apakan daya cinta duniawi sudah lama mengkhianatimu
tubuhmu semakin longgar sendi berbunyi di kala dingin
mati memanggil tatkala kamu tidur
adakah esokkan bersinar mentari nyawamu menghembuskan bayu?

senangkan hatimu dengan kosmetik ruhi
membersihkan jiwa dengan qanaah dan pasrah
serikan wajahmu dengan redho dan taqwa
senyumanmu manis pasti dengan iman yang mengalir
sinar ketenangan lembut dan syahdu
cukup bagi kamu jadi peneman waktu di penghujung usiamu
tanpa nafsu serakah bermaharajalela di situ hanya sinar nur yang redup

melmbai-lambai sayu sang bidadari di pintu Kasih Tuhanmu
marilah marilah Tuhan memanggilmu
jiwa yang tenang berkumpullah walau selama ini
matamu berdarahkan air mata
kudrat kering dihisap sabar
marilah marilah kamu sudah di penghujung jalan kata bidadari
masuklah ke dalam syurga tempat yang tiada hujungnya
segala...
indah ...asyik...tiada rasa bersalah!

muthmainnah

renungan tajam Tuhan
menusuk hati
menanyakan perihal keikhlasan diri
kesabaran ada batasnya
namun Kamu tidak mahu ia berkurangan
malah ditingkatkan
sejajar dengan peningkatan rindu

pada saat kemelut nafsu memuncak
istiqamah menjadi terbalik
berterusan melakukan maksiat
menagih kesenangan dunia
cinta beralih sepenuhnya
istiqamah menemani cinta dunia

Tuhan yang Maha Sabar
pohon kesabaran dijangkiti ulat dosa
memakan serata kelazatan iman
punah akar tunjang menjadi reput
tulang belakang hampir patah
senget, reput dan 'aib

solat tidak indah
cinta kian pudar
hati kian kotor
namun tidak mampu berputus asa
melawan lawwamah
mencapai muthmainnah
megimpi mardhiyyah!

Monday, May 01, 2006

3. Mulia Jilbab

Jiwa gadis itu terbelenggu dengan bermacam-macam persoalan. Dia berasa keseorangan di kala itu.Sunyi. Dia baru terlibat dengan persatuan agama, baru berjinak dengan konsep ukhuwwah malah baru sahaja mengikuyti usrah umum. Dia tiada tempat untuk dia mengadu akan kepincangan yang dia rasakan.

Keesokan harinya, dia mengikuti kelas dengan perasaan sebal. Murung dan mendung saja wajahnya. Kelihatan teman-teman lain memerhatikan sahaja pergerakannya hari itu. Kelihatan juga berita mengenai kelakuan nakal lelaki itu juga diketahui mereka. Di wajah mereka ada yang tersenyum sinis. Ada juga yang kelihatan sesal dengan dengan apa yang berlaku. Tetapi mereka yang sudah masak dengan kelakuan lelaki itu seperti menerima sahaja peristiwa itu sebagai fenomena biasa.

Gadis itu menjerit di dalam hatinya. Di manakah semangat keislaman yang ditunjukkan oleh mujahidin Islam yang terdahulu? Sudah pupuskah? Di mana sebuah peristiwa lelaki Yahudi menyingkap kain seorang muslimah menyebabkan kemarahan para mujahidin sehingga megumumkan perang ke ata kaum yahudi itu?.

Idealismenya runtuh satu per satu. Kesedihannya menyebabkan dia murung. Sehingga dia tertanya-tanya apakah lagi yang menarik minat lelaki-lelaki lalat menghurungnya sebegitu? Gadis itu hanya mahu menjadi seorang Fatimah yang tidak melihat lelaki dan lelaki tidak melihat dia. Tanpa dia sedari dalam dia menjaga pandangan itu, lelaki pula yang memandang dia sewenang-wenangnya.

Gadis itu nekad. Dia menjahit secebis kain yang digunting dari lapisan belakang tudung labuhnya. Dia nekad. Setelah kuliah , dia berjalan-jalan di sebuah kedai jahit milik seorang muslimah. Dia tertarik dengan perwatakan muslimah itu. Dia tenang melihat wanita itu bermuamalah dengan pelanggan-pelanggannya dengan cara yang benar-benar Islami.

Pertama kali dia membuat perubahan itu ialah di dalam perjalanan pulang dari masjid. Payah untuk dia bernafas dengan sempurna. Tersekat-sekat nafasnya. Panas terasa wajahnya. Tetapi gadis itu berlainan dari gadis yang lain. Dahulu, ia pernah berdegil di dalam melakukan maksiat. Sekarang setelah dia mengenal Islam dia akan berdegil di dalam mendalami dan beramal dengannya. Keputusannya nekad.

Keesokan harinya, dia menutup wajahnya dengan fail untuk melepasi jaga yang sedang leka berbual di posnya. Apabila tiba di kelas semua orang terkejut. Terpinga-pinga melihat gadis itu. Malah ada yang begitu marah dan menyampah. Ada yang langsung tidak menandangnya. dalam hati mereka berdetik beraninya gadis ini. Semestinya dia akan menghadapi masalah dengan pihak pentadbiran. Mana ada budak "LAW" yang sepelik dia? Semuanya terkedu. Senyap membisu. Berdebar-debar. Malah lebih cemas dari gadis tersebut. Lelaki yang berdosa padanya pun terkejut melihat perubahan. Seolah-olah menerima khabar esok hari kiamat baginya.

Gadis itu nekad memakai purdah. Dia merasai wajib baginya menutup wajahnya dengan sehelai kain yang amat digeruni pada ketika itu. Dia amat menyalahkan dirinya. Wajahnya yang menarik lelaki-lelaki lalat mendekatinya. Setelah mengambil keputusan tersebut bermulalah hidupnya sebagai gadis yang berpurdah. Makin terasing. Menjadi ghurabaa'.

Begitulah kisah seorang gadis. Gadis yang amat naif. Amat naif. Tetapi kenaifan yang diselimuti hati yang bersih ditadahi rahmat Tuhan. Melangkah dia di atas ranjau yang berduri. Sebagai seorang gadis yang berniqab yang mendapat tentangan dari semua pihak. Sehinggalah 15 tahun berlalu. Istiqamah, masih bergelar wanita muslimah berpurdah.

" Nur, nur ingat ummi pakai purdah ni saja-saja ke?" Pertanyaan mulus anak dijawab dengan bergurau. Anaknya sudah remaja dan sering berbahas. Gadis yang sudah menjadi wanita yang matang itu melayani rentak persoalan dengan gaya seorang kawan kepada anaknya. Nur anaknya tersenyum nakal.Berbalas senyum mengerti antara seorang ibu dan anaknya.

Wanita itu termenung."Oh anak, ummi diselimuti nostalgia. Ummi berdoa agar pengalaman dakwah ummi dapat dijadikan pedoman bagimu anakku, puteriku. Sedalam-dalamnya cinta Ummi padamu, berdirinya kita di hadapan Tuhan nanti berasingan. Engkau engkau. Aku aku. Menjawab segala persoalan hidup di hadpan ALLAH.

Purdah ini mendidik Ummi menjadi seorang yang ikhlas. Menjauhkan Ummi dari pandangan lelaki-lelaki yang tidak ikhlas. Sering berzikir di sebalik tabir tanpa berasa riya'. Tidak risau dengan penampilan.Malah menjadikan Ummi setaraf dengan insan-insan yang mencintai ALLAH.

Walau sekarang ini, Ummi sudah tua, purdah ini bagaikan kulit di wajah Ummi. Jika dibuang, seolah-olah tersiat-siat kulit wajah Ummi. Insan lain mengatakan purdah mengongkong. Tetapi di sebalik tabir ini, air mata kasih Tuhan mengalir di sebalik setiap perit."

Semoga lembah kenangan menghangatkan kobaran iman yang semakin susut di hatiku seorang muslimah.

Tamat