Sunday, August 26, 2007

bulan syair


bunga tulip kupetik di Mulgrave Street, Liverpool
dulu hanya wujud dalam mimpi untuk kuulit igau

bunga dandelion kurayu di celahan retak di taman Hyde
dulu hanya kutonton ia beralun ditiup bayu di kotak televisyen

titisan salji kulahap dengan lidah Khatulistiwa
waduh, suci bersih selapik permaidani putih menutupi tanah

madu syurga dunia mengilau mataku , sianak kampung
dedaunan jingga malah ungu mengghairahkan naluri terpendam

kuluahkan laungan puas kerana kakiku menjejak juga
sebuah taman untuk kupejam mataku sambil lena

aku berada di bulan yang disyairkan pujangga

Monday, August 13, 2007

rumah api


abstraknya emosi
silih berganti
menghempas pantai nurani
hanya di titik mati, hentiannya

tambatan iman
berlabuh di jeti logika
perahu nafsu disimpul
pada tiang sedar
sebuah kamar cinta
rumah api hakiki

menanti
sebuah janji

pemilik aku


tenang air mata itu jatuh menimpa bumi
tanah yang basah meraikan sepi
sekujur tubuh yang pastinya dimamah bumi
satu hari yang takkan pergi
malah makin suci dalam menghampiri

lubang itu besar sedikit memuat badan
kain putih membaluti, seputih itu juga hati
sinaran mentari adakah mengikuti
atau gelapnya malam tanpa henti?

mahkota di kepala hanya dua batang nisan
pokok yang ditanam musykil
mampukah meneduhi?
masa tiba-tiba meloncat di dimensi lain
terjaga dengan laungan
aduh, siapakah yang biadap mengusik?
aku milik al-Haq!

nasihat dari laut


sekali-sekala insan
mayatmu bergelimpangan
mengisi perutku
setelah puas jeritan tolong
tenggelam-timbul
terpacul doa Fira`un
melihat langit Tuhan

acap-kali insan
tubuh telanjang laknat kutampung
kumuntahkan mu ke pantai kedegilan
bersorak terus bercanda ,aku benci

kadang-kadang insan
amanah Tuhan
kuhumbanmu setiup bala
menongkat Malaikat Maut
berderai ruh-ruh bertempiaran
berjuta tumbang tanpa setitis darah

sebenarnya insan
aku hanya air
tepu dengan garam
hina-dina
setitik kehambaan
pandanglah aku dengan iman
agar Rahmat mengatasi Murka

Tok Guru




tahajud Tok Guru berbisik di celahan saksi air mata
Tuhan, panjangkan lidahku sepanjang Sungai Nil
agar dapat kuajak seantero umat
melalui tempias ilmu-Mu

dhuha Tok Guru bersalam di serbuan hiruk-pikuk
Tuhan, limpahkan rezeki demi perjuangan
jalinan satu talian aqidah sejak Hijrah
mengalir barakah-Mu

taubat Tok Guru melaungkan teriak ketidak-mampuan
Tuhan, jiwa jahil yang tidak kusuap
sirami hidayah sehingga kekenyangan
demi soal jawab di hadapan-Mu

ceramah Tok Guru tersirat cinta tak terucap
Tuhan, rebah bangunku tidak kuendah
depan mikrofon kudratku muda
rindu-rinduan syuhada melambai
mati itu hanya pintu masuk syurga

Wednesday, August 08, 2007

kronologi khusyuk


Basmalah
takbir Allahuakbar
kunci niat tersemat
akui agung-Nya
nikmati Kasih-Nya
layari Pemurah-Nya
Al-Fatihah tujuh berulang
lidah basah mengalun
rindui Nabi mengimami
sehingga tiada disembah
tiada penolong selain-Nya
doa menular pohon ampun
doa diangkat tadah petunjuk

al-Ikhlas untuk Esa-Nya
bergantungan harapan makhluk-Nya
satu hanya satu

ruku' memuji-Nya
i'tidal mengadap-Nya
sujud taubat, tasbih, istikharah
duduk bertimpuh menyembah-Nya
lalu sujud tanpa segan
menindih hidung ketinggian
duduk tahiyyat awal dan akhir
bercucuk-tanam syahadatain
mengobek syirik
dua, tiga, empat raka'at
lautan khusyuk pasang dengan takbir
lautan khusyuk surut dengan salam
Assalamu'alaikum warrah matullah
kanan itu untuk syurga
kiri itu tutup pintu neraka
Amin