Thursday, May 31, 2007

senyuman bonda



senyuman bonda
siang malam
ringkasan jiwa
berselirat duka
berbudi kasih
masa sekerat
hanya
lambaian pergi
membelakangi
secubit belas
membekali
tapak kaki anak
sebesar tapak tangan
dicium
bertalu-talu rindu

Tuesday, May 29, 2007

jiwa ini gunung




jiwa ini gunung
menghisap nira setitis madu
noda menghimpit dada
pusingan air suci
berputar dalam bulatan
laut biru hitam
tanpa bunyi
tanpa suara
terus berlingkar
termangu sebuah bayang
sudut tak terhirau
menanti lukisan hidup itu
berhenti berpusar
pada titik
azali

Sunday, May 27, 2007

bunga manja


cinta
sepasang mata
sekuntum bunga

mata hitam perang
letih tangan berurat
tulang empat kerat
bongkok sabut
lingkaran hitam di bawah alis mata
berjaga malam menjahit untaian
terungkai

bunga dara
merah ghairah
kuning keliru
merah jambu cinta
berdiri berdaun duri
meliar di tepian

seindah letupan warna
selaju cahaya
kaca-kaca warna terpacak
menikam luka
meninggal parut

Thursday, May 24, 2007

cakerawala ruh



dunia tiba-tiba senyum
riang berterbangan sayapnya
sepoi-sepoi bahasa bayu jiwa

hati tiba-tiba senang
tulang belakang yang bengkok
nyaman terbaring atas tilam
keenakan

aku tiba-tiba remaja
kedut risau di dahi
sirna ghaib
dihembus usikan
melayang-layang nurani
menjentik kapas asyik

rupanya
tawa riang
masih wujud
di cakerawala ruhku

Tuesday, May 22, 2007

percikan nur


ke manapun daun itu pergi
sungai sepi menghanyut ke muara
angin lembut mengusik berombak ke kiri
melenggang-lenggok tari perjalanan

air yang jernih bersinar telus
silau matahari zuhur tegak berdiri
air berbunyi riang menampar batu kecil
nakal bergurindam memercik peluh
batu samar-samar kilauan intan

suruhan dan ajakan suara hati
degil berbunyi menolak tepi
dengarkanlah suara hati daun, air, batu
simfoni bersama seruling hatimu
tepu nafas segar dalam bingkisan akal

Monday, May 21, 2007

langsai


langsai hutang
langsai dendam
akhirat nanti
kosong kosong

kem tahanan
pakai baju tikus mondok
tangan diikat
masuk ke kapsul masa

tuntut dosa
tuntut belot
rejam selamanya
esok esok
akukah atau
engkaukah
tersengih
macam kerang busuk?

Saturday, May 19, 2007

jiwa langit biru


berlari di horizon
disisi angin
lautan samudera luas
didada laut
gunung memacak keras

berlari-lari
mengejar pelangi
menghirup madu
di kaki bukit

jiwa
langit biru
hijau
dalam laut
merah
seloka senja
hitam
hening malam
panas
terik siang
aku mahu sentuh segala
bejana kasih
Maha Misteri

Thursday, May 17, 2007

pintu


maaf
pintu ini kututup
hanya aku dan Dia

pujian untuk-Nya
senyuman tanpa roh
ikhlas lesap ke awan

terimakasihku
sama-samamu
sirna
aku aku, engkau engkau

keasyikan sementara
membuai
sesaat selepas itu
hempedu

pintu ini
bukan untuk sesiapa lalu
hanya aku dan Dia
bicara

Tuesday, May 15, 2007

dua belas


sepuluh jari kususun berinai
sembilan purnama menunggu cahaya
tujuh bulan bintang matahari
menguap di teratak takdir

dua belas tahun
dua belas bulan
dua belas minggu
dua belas hari
dua belas jam
dua belas minit
dua belas saat
tiada titik antara
hanya ada titik mula
akhirnya titik mati

hempas

percaya digigit
yakin bergempa
asaspun punah
dibina kembali
semata taqwa

bata maaf disusun
teliti,tekun,tawakkal
tak henti doa
yang hilang diganti
yang lebih indah

marah kadang menyinggah
sembilu was-was
putik baru cambah
roboh dihempas ombak

ujian metaforanya
mehnah ironinya
qadha qadar
Penentunya
daun-daun pasrah melambai
sayu masih kuat
melekat di ranting
kudrat

Tuesday, May 08, 2007

pohon kehidupan




di pohon keimanan
gugur buah dan kuntum
diinjak kemalasan
reput tersadai di pinggiran jalanan


di rimbunan silaturrahim
tercalar kedengkian
ranting yang tidak dihinggapi
merengus jatuh
disambut jelingan sayu
unggas yang hinggap

di kuntuman kasih sayang
duri nahi mungkar menyengat
dilipatan amar ma`ruf
senyum-senyum, cubit-cubitan

di akar realiti
vitamin dari tanah
kadang busuk berkhasiat
kadang wangi mereput

di sebalik iman,ada nifaq
sinaran mahmudah
mazmumah berlingkaran
taqwa, taqwa
seru syurga

Monday, May 07, 2007

dan anak-anak kelaparan



kupungut sisa roti
sebelum kupijak rezeki
kutelan bekas air liur
sebelum aku merasa jijik

siapa aku untuk makan
seperti raja dan permaisuri?
santapan habis dimakan tikus
berlarian di tong sampah

dan anak-anak kebuluran
sesungguhnya anak-anak kelaparan
demi masa depan
sesungguhnya aku ini seorang hamba
selayaknya aku pungut roti
yang berbekas air liur orang
dan aku makan
menyelerakan!

Saturday, May 05, 2007

mimpi



tebing ini
gaung gerun
sungai api
tergelincir
Zabaniah memekik
nama-Mu kusebut
pintu taman itu jauh
terhidu

jiwa nan keras membatu
tangis tanpa terbit mentari insaf
solat tanpa sabar
sabar tanpa solat
keringat tanpa korban
korban tanpa keringat
takkan kusyuk selama-lama

bangun dan tempelenglah aku
dari mimpi silam
mimpi sekarang
dan mimpi akan datang