Sunday, April 30, 2006

2.Mulia Jilbab

Gadis itu bukannya tidak terkesan dengan perbuatan teman-temannya. Terasa dirinya seperti seekor kucing yang sedang meniti bumbung zink yang sedang membahang. Melepuh kulit kaki kucing itu tepaksa juga mengharung kepanasan untuk sampai ke destinasinya.Gadis itu juga tidak sempurna. Dia hanya insan biasa. Cuma dia amat fasih berbahasa Inggeris dan amat menyenangi bahan bacaan berbahasa Inggeris. Namun seperti pelajar lain, dia sedar dia bukan genius. Bidang perundangan bukannya mudah. Apatah lagi untuk memahami konsep-konsep legal perundangan buatan manusia.Segala buatan manusia memungkinkan perubahan menurut zaman. Tidak pernah statik. Malah hanya berlatar belakangkan pemikiran insan semata-mata.

Bukannya tidak ada teman-teman sekuliah yang tidak simpati dengannnya. Tetapi dia tidak vogue. Rigid. Bersahabat dengannya hanyalah berbual-bual mengenai perkara-perkara yang serius. Pelajaran. Agama. Walaupun dia sentiasa nampak terbuka, tetapi dia tetap kolot bagi teman-temannya. Sering menolak diajak keluar malam dengan pelajar-pelajar lelaki yang lain. Walaupun mengikuti rombongan ke pantai beramai-ramai dia sering menolak dengan baik.

Ada juga pelajar lelaki yang meminatinya. Namun mereka tidak mengerti cara yang terbaik mendekatinya. Mengutuskan surat ingin berkenalan terus ditolak dengan baik.Kalau pelajar perempuan yang lain, amat mudah mendekati malah dengan senang lenang dapat memujuk mereka duduk di atas riba sambil disentuh tubuh badan mereka. Namun di dalam hati pelajar-pelajar lelaki itu , mereka menganggap mereka hanya perempuan murahan sahaja.

Turun naik dalam pelajaran merupakan perjuangan yang terpaksa gadis itu lalui. Dalam mata pelajaran selain dari perundangan , dia amat lemah, Matematik dan statistik sering menjemukan dia.Sejauh manapun usahanya , dia gagal mendisiplinkan dirinya membuat latihan yang berkekalan.Malah sering juga dia hanya sekadar lulus dalam ujiannya.

Ditaqdirkan Tuhan, dia dan seorang pelajar lelaki sekuliah terpaksa menduduki peperiksaan semula pelajaran yang paling dia kurang minat. Jika gadis itu gagal, terpaksa dia membuat rayuan untuk meneruskan kuliahnya. Bertungkus-lumus gadis itu menelaah. Akhirnya dia lulus walaupun hanya cukup-cukup makan.

Pelajar lelaki tersebut juga lulus seperti gadis itu. Dia juga lemah dalam pelajaran yang serupa. Dalam diam lelaki itu menaruh perasaan yang tidak baik kepada gadis tersebut. Dia seolah-olah tercabar dengan kemuliaan seorang gadis. Gadis yang tidak mudah diperlotak-katikkan. Tidak mudah terpengaruh dengan pujuk rayunya untuk makan tengahari beramai-ramai dengan teman-teman sekuliah yang lain.Gadis itu baginya seorang yang sombong dan angkuh. Tidak seperti teman-temannya yang lain. Dengan mudah diajak makan berduaan. Dengan mudah dipujuk rayu. Hanya gadis itu sahaja yang mengangkat dirinya terlalu mulia untuk lelaki itu dekati.

Lelaki itu solah-olah nekad mahu mengganggu gadis itu. Sengaja dia duduk bersebelahan di waktu ada kesempatan itu. Sengaja merapati gadis pemalu itu. Gadis itu benci. Kadang-kadang pekajar lelaki lain yang memahaminya menegur dengan keras lelaki itu supaya menjauhi gadis itu. Kasihan gadis itu menjauhkan tubuhnya yang tersepit di antara dinding dan lelaki itu.

Tatkala mendpat keputusan peperiksaan yang amat kritikal itu, lelaki itu dengan bersahaja menjerit kegembiraan dan melaungkan sorak. Secara tiba-tiba dia mendekati gadis itu sambil berkata:.

"Wah engkau lulus juga. Aku pun lulus. Fuhh leganya hati ini.hahaha"

Dengan selamba dia menyentuh bahu gadis itu denan penuh kelelakian. Dengan tidak berhati perut, dia telah menjatuhkan maruah seorang gadis muslimah yang berjubah dan bertudung labuh.

Gadis itu kaget dan panik. Tersirap darah di wajahnya. Tidak pernah terlintas di hatinya bahawa lelaki itu seberani dan seangkuh itu. Tidak pernah tercetus di hatinya untuk mengelakkan diri dari sentuhan tadi. Gadis yang naif itu sentiasa bersangka baik dengan sesiapa pun. Tidak pernah dia memikirkan bahawa ada juga insan yang jiwanya busuk berpenyakit. Yang benar-benar berniat jahat padanya.

Gadis itu terus berlari pulang ke asrama. Di dalam kesedihan yang amat dia memuhasabah diri sebanyak-banyaknya. Apa silapku ya TUhan? Sehingga aku diperlakukan begini. Sehingga ada seorang lelaki sanggup menyentuh diriku tanpa malu dan tanpa diundang. Adakah aku tidak cukup menjaga diriku? APAKAH SILAPKU?

bersambung

Friday, April 28, 2006

Mulia Jilbab

Semalam nostalgia itu menuruni lembah kenangan. Setelah sekian lama lembah kenangan itu dibiarkan sepi, tiba-tiba disimbahi pertanyaan mulus. Lembah kenangan itu dihujani lagi. Semoga kekeringan asas tanahnya yang berdebu menjadi lebih berkhasiat untuk menyemarakkan asas nawaitu sesuatu amalan.

Kenangan itu bermula di satu saat seorang gadis itu amat naïf. Amat idealistic namun idealismenya di tadahi Rahmat Tuhan. Seolah-olah tercetus suatu revolusi dalam dirinya yang kecil. Sanggup menentang arus kemodenan dan kebiasaan nafsu yang bermaharajalela di kalangan pemuda-pemudi.

Gadis sunti itu bepakaian jubah dan bertudung labuh. Pada saat-saat kemanisan Islam dan Iman dikecapi pada usia remaja, dia mentaati sunnah dengan berpakaian serba kusam dan memahami erti sebenar indahnya berselindung di bawah selendang ‘aurat.

Namun ujian yang dihadapi setaraf dengan penghayatannya pada Islam. Dia bertegas memilih jurusan yang dia minati iaitu perundangan Inggeris. Lagipun dia berlatar belakang pendidikan Inggeris dan bersekolah berasrama penuh. Baginya Islam tidak menghalang apa-apa jurusan ilmu jika nawaitunya mantap Lillah.

Nawaitunya yang suci dibekali semangat yang tinggi serta ruh jihad yang menggunung. Indah bersinar dalam sekeping jiwa yang bersih. Namun setelah bebrapa lama berada dalam kelas perundangan, satu demi satu tamparan yang dia hadapi.

Gadis sunti itu bagaikan kambing hitam. Teman-teman sekuliahnya mengikuti trend pakaian. Berpakaian kurang dan sopan pun kerana formality. Tanpa menghiraukan aurat yang sengaja dipertontonkan itu , dicela atau diidamkan oleh pelajar lelaki yang melihat. Mereka berbangga dengan keremajaan, mendabik dada dengan angkuh dengan kebebasan yang akhirnya dikecapi.

Gadis sunti itu menjadi pariah di dalam kelas pengajiannya. Bukan teman-teman saja yang menjauhinya malah pensyarah perundangannya pun memandang serong padanya. Penampilannya seperti awan mendung di celah-celah keceriaan pelajar-pelajar yang lain. Teman sekuliah merasa tertekan kerana terlihat kelibat ustazah yang sentiasa menjeling mereka yang sering berjoli sakan di dalam kelas. Teman-temannya rimas walaupun gadis sunti itu hanya membisu seribu bahasa. Walaupun diam, kehadiran gadis itu di suatu sudut di kelas seolah-olah seorang malaikat maut yang menjatuhkan hukuman terhadap kebejatan nafsu mereka. Namun gadis itu tetap tidak pernah melafazakan teguran ataupun nasihat. Dia hanya membenanmkan diri dalam buku-buku teks undang-undang Inggerisnya.


bersambung

Monday, April 24, 2006

untukmu sayang

kamu meniti arus sayang
ombak nya besar dan gagah
kelihatannya kamu sudah kalah dahulu
sebelum kamu bertempik ALLAHUAKBAR
memejam matamu menghamburkan kesedian
mati syahid ruh mu akan berterbangan
di ruang angkasa syurga yang tidak terbilang

kamu sudah rebah sayang
terduduk tersedu menahan esakan
sedangkan ombak hanya baru surut
sebelum ia menjadi gadang
kamu kan boleh berikhtiar sambil tawakkal
berazam melaungkan azan tanpa gentar
mengumpul derita yang pahit menjadi satu benteng tegar
dalam jiwa yang terbakar emas membentuk jiwa bersinar

kamu kan mengerti sayang
syurga itu hanya dini'mati ruh yang sabar
tegar terbakar tanpa undur sewajar akal
kamu hanya bertopengkan iman
sedangkam keislamanmu bergegar
dek ujian tersohor sejak dahulu kala
tanpa pengorbanan adakah kemanisan iman
wujudkah langkah yang jelas menuju Redho Tuhan?

Monday, April 17, 2006


syurga menanti... Posted by Picasa

Hidayah sabar

Tuhan
Engkau meniupkan kasih yang tak dapat ditulis
sehingga insan melemparkan senyum redho yang tak dapat diukir
jiwa melangsaikan dendam dengan meniup kemaafan
kemelut menjadi sirna dengan melapangkan sempitnya dada

Tuhan
butiran hidayahMu mencengkam kebejatan nafsu
menyekat empangan amarah yang melimpah kerana kesumat
menyerap ketidak adilan dengan mengurut dada tenang
panahan CintaMu menjadikan kecil api yang yang marak
ombak yang gagah menjadi kerdil dan senyap deruan damai
RahmatMu bertebaran menebarkan sayapnya mengipas tenang angin ribut

Tuhan
tiada ayat seindah Kalamullah
sakinah di sisi zikrullah
tiada amanah seberat memikul seguni iman
menggendong tabah secangkir istiqamah..
beruntung insan yang sabar
airmata tumpah ditadahi Rahmat Tuhan!

Sunday, April 16, 2006


saat saat senja berlabuh Posted by Picasa

Saturday, April 15, 2006

senja semalam

masa berlalu tanpa ku hirau
seperti angin petang yang datang dan pergi
ku isi mantera pernafasan dengan keinsafan
yang berlalu tetap pergi tanpa peduli
aku menangis atau aku tertawa

jauh di sudut hati insani
aku melerai ikatan fitrah
ku lempar sejauhnya naluri semulajadi
agar aku lebih tabah
membawa diri

betapa segalanya sudah terbalik
dulu suka sekarang duka
satu ketika dulu
segalanya disinari mentari pagi
bersama hembusan bayu subuh
segalanya terlerai dek panasnya panahan realiti
dunia yang berputar terus menerus
tanpa menunggu aku yang termenung
mendongak dagu berkhayal dalam fantasi

kenangan lalu masih tersimpan kemas di dalam sanubari
kadang terasa perit menggetap gigi
takkan ku lepas sinaran yang silam
kerana jika ia berulang
akan ku genggam lebih mendalam
dalam memori yang berlalu
di saat-saat senja berlabuh semalam!

Tuesday, April 11, 2006

sejujur pengorbanan


unconditional love... Posted by Picasa

bila kau mahu menyakiti dirimu
ingatlah akan wajah yang menyayangimu
adakah sakit kamu akan menyakiti mereka?
maka tak usahlah
kerana bukan hanya airmatamu yang tumpah
tetapi hatimu akan sakit
memandang mata mereka yang berair
senyum mereka yang luput
hanya kerana kamu tidak lagi bernyawa
putus asa mematikan ruh

bila kamu membenci dirimu sendiri
ingatlah adajiwa-jiwa lain yang terkesan
dengan amarah dan dendammu
ingatlah hatimu paling dekat dengan mereka
toksin mengalir deras menjangkiti kekasihmu

bila kamu membiarkan dirimu layu
adakah kamu sahaja yang longlai
atau ada insan lain yang rebah bersamamu
medambakan ketabahan hatimu
kamu begitu bererti bagi mereka
sebenarnya

ingatlah yang tersayang
yang mengasihimu tanpa syarat
tanpa kepentingan diri
tidak meminta itu dan ini
hanya mahu melihat kamu teruskan hidupmu
setabah mungkin
kerana mereka menghargaimu!
lakukan untuk kebahagiaan mereka
walaupun hatimu tidak!
pengorbananmu memberi erti pada dirimu sendiri

Friday, April 07, 2006


sesungguhnya ALLAH itu amat dekat..kamu inagt mudah jalan ke syurgaKU? Posted by Picasa

Berhenti kawanku

berhenti kawanku
berhenti menolak naluri
marah jangan dipendam
aku mendengar setiap butir keluh

letih itu berasas
sakit jangan ditelan dalam kekeringan
mari ku belai sejuk tubuh
hati sudah membeku keras
mari sini dekat aku duduk bersentuh bahu

dengar laungan hati
jangan kau tutupkan telinga kaku
perlukan perhatian
kerana perit kelesuan

menangislah kerana sesungguhnya kamu bukan insan super
hanya insan hamba
diciptakan dengan sengaja penuh kekurangan
sengaja, sengaja Tuhan berbuat
agar selalu bersandar pada bahu RahmatNya
malah Tuhan semakin sayang

Oh Tuhan
aku menangis sekarang
jeritan yang makin membingit
yang sering dipendam diluahkan
teresak-esak merembes air
dadaku lega walau mataku sakit
membengkak seperti bengkaknya hati
menanggung gunung di bahu sempit
agar Tuhan sudi menemani!

Wednesday, April 05, 2006

cintamu


insyaALLAH sayang kau akan tahu erti kewujudanmu... Posted by Picasa

aku mengerti cintamu padaku
walau engkau masih mikroskopik
engkau tetap wujud
dengan ruh yang telah dihembuskan

aku merasai kewujudanmu
walau benak ini penuh kerunsingan
mengalir darah pengorbanan tanpa henti
hanya doa sebagai senjata mukmin

aku akur kemanusiaanmu
kerana aku juga wujud sepertimu dulu
tidak pernah meminta diwujudkan
tidak pernah ingin dikeluarkan
namun perjalanan ruh dan jasad seiring
meniti masa, waktu,ruang
yang aku ditempatkan

akan kau mengerti
seperti juga aku
yang akhirnya mengerti
kewujudan ku ini apa ertinya
walau usiaku semakin di hujung
sebilah pedang kehidupan yang terhunus!

Sunday, April 02, 2006

tenang laut bergelora


tenang laut... Posted by Picasa

kadang-kadang
kata-kata indah
tidak dapat ku tuturkan
hanya dengan renungan yang redup
menjeling ke arahmu
aku sudah melempar kasih

wajahmu mengisi setiap ruang
seperti menatap keindahan langit fajar
berada di sekitar mu
bagaikan hembusan bayu senja

kadang-kadang
kata-kata indah
hanya berbisik-bisik
di pedalaman hatiku
malu melafazkan
segan menundukkan ingin
mahu tapi malu

suaramu
susuk tubuhmu
menguasai segenap ruang
kamar hatiku
mengunci setia
membenam rindu

hangat masih cintaku
kenangan lalu
ku ulang tayang
dosa-dosa menjadi sirna
kemaafan meresap

(tenang laut gelora
nakhoda melafazkan syukur
angin bertiup selepas ribut
bahtera iman belayar
di bawah naungan bintang Tuhan
amin!)