Monday, February 25, 2008

cinta

Mengenal cinta

Tiba-tiba ia menjadi sebuah dunia

Menjadi nyawa yang berhembus

Pada kalbu seorang aku





Meneguk kasih

Terus menjadi nasi yang disuap

Bertukar air yang dihausi

Menjadi gila sebuah emosi

Beritahulah aku, aku bukan keseorangan begini?

kosong

di sebalik tabir
berlabuh di wajah senja
malam kian meronta
kian memaksa
sebuah karangan jiwa

terawang idealisma di altitud tinggi
sehingga perit dada bernafas
teresak-esak akhirnya kemaafan
terjulur jemari terhulur
membeku di kutub
kerana matahari menyinar
hanya di situ, khatulistiwa

dalam kosmologi jati diri
tersepi sebuah kendali sesat
tergagap menyebut Tuhan
kontang

anak, awan biru di langit biru

anak

tunaikanlah janji ini

impian ibu melakar awan biru di langit biru

lukiskanlah untuk ibu

awan biru bersenandung langit ungu

lorekkan kalammu untukku



anak

nafas ibu berombak

menelan sakarat di hujung nafas

biarlah wajah awan biru mengucapkan

salam terakhir di lirik mataku

di kalbumu teraqad selangit awan

membiru , meng-ungu, memutih



anak

di pandangan akhirku

syurga kutatap kurindu

bayangan si awan biru di langit biru

di dadamu

denyutan

purnama pada semalam

indah mempesona pada satu detik

khayal asyik menyapa

sempurna lingkaran bertaut

pada satu titik



menggigit seribu godaan

mengikat mutiara nafsu

yang ingin berderai

sumpahan Iblis takkan lerai

selagi berdenyut di nadi iman

wajah segala wajah

"salaaman salaama"

berseri-seri si penghuni

berwajah gagah bertubuh sasa

bermanis-manis bertambah seri

sibidadari jelita menemani

selama-lamanya begini



saat segala saat pun tiba

WAJAH segala wajahpun terserlah

sujud segala sujud terakhir

diangkat lihat WAJAH KEKASIH

empati

Tuhan ke manakah sabarku berjalan
jalan yang tersimpang jauh dari kitab amalan
di bibir ini , ada doa
di hati ini , ada impian

namun tangan ini menghayunkan sesal
seorang bonda yang tersesat akal
di bibir ini, ada istighfar
di hati ini, ada goresan

kata anakanda bunda ke mana
rindu dendam dipeluk duka
dalam diam, ada derita
dalam faham, ada ronta

kerana namakah bonda?
kerana duniakah bonda?
anakanda tidak kenal?
siapakah bonda?
adakah bonda?

luluskah?

kenapa namamu kuukir di atas batu delima

habukmu kutiup agar jelita

kuulik dengan anyaman sutera

senyuman kutiti pada kolam ikhlas

tenggelam lemas sebagai korban





kuperah santanmu

kuisi kenyang perut lapar

senyummu akhirnya senang

tangan taqwa semai keyatiman

jiwa anak yang ditinggalkan

ibuayah melahap kerakusan



di depan Tuhan

agar aku dan engkau tunduk

Ya Tuhan lulus sudahkah segala ujian?

menarilah bidadari

cinta menari

mata memandang

kain labuh terkadang

tersingkap mengusik

terlihat buku lali berstoking

lembut menghentak



pedang di tangan berayun

berentak ghairah terpendam

jiwa bergelora bertukar arah

setenang embun

bidadari menari

untuk santapan kalbu



pernahkan jiwa

diusik, terusik dan mengusik

diam kuberdoa

bidadari menarilah selamanya

sangkar kelabu

sangkar ini memakan suara kalbu
merendam hempedu yang diinjak kelabu

sangkar ini memenjara cetusan budi
sunyi dan sepi seruan kasih

sangkar ini menghapus bayuan zikir
menggetap gigi meludah alunan bibir

bilakah tuanku
mengizin
daku
pergi?