Saturday, September 30, 2006

imani

malam ini
tiada sandiwara dalam hati
hanya ada bisikan-bisikan rindu
sedikit demi sedikit naik ke Arasy
menyulamkan kasih yang tak pandai dimengerti

hening ini
disulami zikiran unggas
bayu malam pun seolah terhenti
pohon dedaunan seakan mengerti
saat ruh-ruh islami beramali mengimani

seribu detik begini
seribu bulan begini
sejuta derita pun sanggup ditanggung
hanya walau sesaat kemanisan iman amal jihadi
tertusuk hidayah
bekal hingga ke akhir hayat


sesungguhnya wahai sesiapa sahaja
syurga itu benar
neraka itu benar
akhirat itu sudah bersinar-sinar
duniawi makin pudar....

Friday, September 22, 2006

bulan ini gemersik cinta abadi

bulan ini gemersik cinta abadi
menggugah nurani mengusik
qalbu merindu
kerinduan abadi

tangisan ini sesak
mengalir juga akhirnya
Ramadhan dulu teramat nostalgik
kali ini ia mendayu-dayu
mohon dirindu
minta diingat
kurniai istiqamah

Oh Tuhan Yang Memberi Rahmat
Tuhan Yang Mencinta
bulan ini bulan cinta abadi
pemulaan insaf garis mula taubat
biarkan akhir nafas bersemadi
dalam bulan cinta abadi
antara Tuhan Maha Pencipta
dan hambaNya yang meminta

Tuesday, September 19, 2006

wahai jantung hatiku

sekalipun engkau menidurkan resah
nyenyak semalam menundakan sepi
hati ini bergolak di sisi
serangkai kata masih tidak mengangkat sepi

cuba kau jiwai jiwamu sendiri
mengapa ia berkalung sepi?
berantaikan keluh dan kesah tidak bertepi
meredah siang dan malam
boneka yang masih hidup

maafkan sedangkan tiada siapa yang tidak berdosa
maafkan
ampunilah dosa-dosa
sedangkan kamu sendiri bergelumang dengannya
malu tidak kamu memmohon dari Tuhan
maafkan sahaja kesalahan
sepertimana Tuhanmu selalu memaafkan
membersihkan jiwamu dengan simbahan nur
bersih dan suci lalu kau kotori lagi

kalung di tangkai jiwamu
tidakkan berkilau resah
menjadi tasbih berkumat-kamit rindu
dalam zikrullahku
ku untaikan doa yang tidak pernah lenyap
dari sanubariku
wahai jantung hatiku
sayang....

epilog cinta anak dan ibu II

cinta tanpa syarat
selembut angin sepoi bahasa
selembut setitis embun berbayu
terpanah cinta yang tidak berbelah bahagi

cinta tanpa minta dibalas
pelukmu sehangat mentari
sayu mendayu membelai
kurniaan amanah suci tanpa dosa

Allah cinta
aku cinta
insan cinta
engkau anakku...

(istimewa utk anak kembarku Ahmad Ihsaanudin, Ahmad Ihkaamuddin)

Sunday, September 03, 2006

sesat dalam cahaya

langkah yang menuju neraka
terbentang luas
jelas dan ceria
terang benderang
tanpa kekaburan
satu demi satu
langkah kehancuran
diberi petanda jalan
yng tidak mungkin kita sesat

langkah yng menuju Redho ALLAH
terlalu kabur
hanya nampak langkah yang terdekat
memerlukan keberanian tawakkal
tersungkur di celahan akar
kabus serabut
menyesakkan
jalan nampak tiada kesudahan
terlalu menggerunkan
menyedut pengorbanan
yang menghisap tenaga zahir dan batin

sabar itu terlalu pahit
marah itu terlalu indah
redho itu terlalu menekan
mengeluh itu terlalu mengasyikkan
berdiam terlalu mencekik hati
mengumpat itu memerdekakan
bersangka baik terlalu idealistik
berburuk sangka itu vogue

Oh Tuhan
sesatkah aku
sesat dalam cahaya...