Tuesday, October 17, 2006

doa

Tuhan
di sisiMu ada tempat untukku
perasaanku membuak-buak
meluahkan segalanya pada saat terdesak

Tuhan
segalanya kelihatan tenang
namun di sebalik permukaan air
berbagai nostalgia
menggegar imanku senipis bawang

Tuhan
riak kehidupan ku
seperti taqdir setiap insan
sabar ini ku mohon ikhlas
agar mampu ku bertawassul dengannya
sedikit demi sedikit
pintu keresahan terbuka
agar nurMu menerangi jalan
akhirnya aku melangkah keluar
setelah sekian lama aku tersadai

Sunday, October 15, 2006

kiamatku kirim salam

rindu ini datang
naik berkepul awan putih
kabus menyelinap naik ke langit
menggamit perit menahan rindu nestapa

kasih tak ku sembunyi
tiada malu menghias
yang aku rasa itulah hakiki

jalan yang jauh
sebenarnya sudah dekat
aku tertipu dengan umur dan sihat

satu persatu
nafas yang tersekat
ku hela dalam-dalam
ku lepas habis-habis

syukur
masih aku bernafas
nyawaku masih dikebumikan di dunia
belum melayang-layang ditiup sangka kala
menyalalah nur iman di alam barzakh
kiamatku sudah lama menyapa keras
jawab salamnya
jawab!!

terkedu
seperti selalu
itulah aku
Ya Tuhanku...

Tuhan..ku luahkan

ke manakah warna-warni dunia
berterus terang dengan Tuhan pemilik segala
betapa ni'matNya tak terkira
lidah kelu membilang satu persatu
tiada noktah tiada jalan penghujung

ikhlas, ikhlas meranap keegoan
peritnya berpegang walau sesaat ikhlas
mahukan syurga tapi jiwa derita
mahukan sekarang sedangkan jasad masih ada
masih belum sedikitpun penyucian berhasil
tenggelam dalam retorik terus lemas

indah, indah dalam ibadah
kemanisan iman menjadi pahit
sifat mamhmudah bermain di hujung lidah
sifat mazmumah berkarat dek masa

Oh Tuhan
berikanlah aku
ruang yang sepi
saat yang terhenti
agar air mata taubat mengalir
deras tanpa malu-malu
teresak-esak tanpa suara
agar tiada lagi rasa
yang tidak ku luah
padaMu....

Thursday, October 05, 2006

apa sebenarnya aku ini

Ya Tuhan
aku ingin melihat diriku sebenarnya
tidak ada basa basi
tidak ada sebarang hijab
antara kebenaran yang meliputi diriku
bukan apa yang aku mahu lihat
tapi apa yang benar dalam diriku

Ya Tuhan
aku tidak seindah bunga yang mengharum di jannahMu
aku tidak seindah yang setanding dengan anugerahMu padaku
aku juga tidak sebaik yang diperkatakan
kerana hanya senyumku kelihatan senyum yang ikhlas

Ya Tuhan
runsingnya aku dengan apa yang sebenarnya meringkuk dalam hatiku
sering hatiku yang gelap membuat aku begitu selesa
tidak mahu rasanya mengorek lebih dalam
apa sebenarnya di lombong hatiku ini
ada permata ataupun hanya sisa-sisa kotoran dunia

Ya Tuhan
cacian orang yang dengki aku sabarkan hati
kerana aku pun terdetik juga rasa dengki
marah orang yang tidak adil pun aku maafkan
kerana sesungguhnya kau kerap juga bersikap tidak adil
ketidaksempurnaan insan lain ku lapangkan hati
kerana aku juga penuh dosa

Ya Tuhan
walau aku ini berdaki dosa
namun tetap juga ku tebalkan muka ini
berbisik-bisik denganMu
walau hati sendiri menentang
berhujah dengan ku apa Tuhan mendengarMu?

Ya Tuhan
walau aku ini tidak banyak ilmu akhirat di dada
namun aku mengetahui AsmaMu
Engkau Maha Tahu
samada yang aku sembunyikan
atau yang aku berterus terang

Tuhan
KasihhMu memang tak bertepi
kasihku bermusim
maka ni'mat Mu yang manakah yang aku dustakan?